Malaysia Dateline

Kerajaan sekali lagi ditegur MP pembangkang isu pusat judi, nombor ekor

Kerajaan sekali lagi ditegur berhubung isu nombor ekor apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) membangkitkan berkenaan pertambahan pusat-pusat judi dan kegiatan judi yang semakin berleluasa dalam negara.

Beliau berkata, seolah-olah ada usaha dari pihak kerajaan yang mahu menutup fakta bahawa hampir 45 peratus daripada individu yang terbabit dalam aktiviti tersebut adalah mereka yang beragama Islam.

Beliau memberi amaran agar kerajaan tidak berdalih dan menafikan perkara tersebut kerana data dari sistem MySejahtera boleh membuktikan berapa ramai individu Melayu Islam yang terlibat dengan kegiatan judi dan menjadi ahli kelab tersebut.

“Jangan nafikan kerana memang ada rekod MySejahtera orang Melayu terlibat dalam kes ini. Ini termasuk kelab di Bukit Kiara. Saya minta menteri kewangan dan pihak polis bahagian siasatan jenayah untuk menyemak kerana memang ada laporan polis dibuat.

“Saya cuma menekankan supaya menteri kewangan ambil serius soal cabutan khas dan lesen (judi) kerana saya tahu ia melibatkan dana besar dan bantuan kewangan besar kepada pihak tertentu.

“Tapi untuk mengizinkan perjudian ini bermaharajalela, (tidak boleh diterima). Dan seperti yang saya dapat maklumat, 45 peratus daripada anggotanya yang terlibat dalam perjudian adalah orang Melayu yang diizinkan (kerajaan),” katanya ketika sesi perbahasan Ketua Pembangkang hari ini.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) kemudian bangkit dan mencelah agar Port Dickson tidak terus menekan pihak kerajaan yang sememangnya tidak mempunyai apa-apa manifesto yang boleh dilakukan.

“Janganlah tekan sangat kerajaan ini. Mereka bukan ada manifesto. Mereka bukan ada apa yang boleh dijanjikan Oleh itu, apa yang boleh dapat duit, mereka buat sahajalah. Jadi janganlah Port Dickson duk tekan kerajaan yang tak ada manifesto ini,” sindirnya.

Pada masa sama, Datuk Seri Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) juga bangkit berdiri dan berkata, kemungkinan kerajaan memberikan sedikit ruang kebebasan untuk berjudi kerana pihak-pihak tertentu sudah mendapat cop halal selepas ramai ulama Pas duduk di dalam kerajaan Melayu Islam.

“Besok pula ada cabutan khas. (Jarak) dia 70 meter daripada tangga ibu pejabat Parti Islam seMalaysia (Pas). Ada satu kedai judi yang akan buat cabutan khas,” katanya.

Justeru itu, Anwar menggesa agar satu tindakan tegas perlu diambil terhadap isu pusat-pusat judi yang berleluasa dan kenaikan cabutan nombor ekor yang sudah beberapa kali dibahas di Parlimen.

Menurutnya, hal ini bukan sahaja untuk dibincangkan, tetapi memerlukan respon dari menteri kewangan, perdana menteri dan seluruh jemaah menteri dari parti Islam untik bersuara mengambil tindakan tegas.