Kerajaan Selangor komited Permatang Kuarza Gombak dan FRIM diiktiraf tapak warisan dunia

Kerajaan Selangor komited Permatang Kuarza Gombak dan FRIM diiktiraf tapak warisan dunia

Selangor komited dalam memastikan dua kawasan bersejarah di negeri ini, Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) dan tapak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) di Kepong, disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Paiman Keromo berkata, dokumen atau dossier bagi kedua-dua tapak berkenaan sedang disediakan oleh Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Selangor dengan kerjasama pakar-pakar dalam bidang warisan dan geologi sebelum diserahkan kepada UNESCO untuk pertimbangan.

“Sekiranya kedua-dua tapak ini berjaya mendapat pengiktirafan UNESCO, ia berpotensi untuk menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di Selangor yang pastinya bakal memberi manfaat yang besar kepada rakyat dan ekonomi negeri,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tapak Warisan Negeri Selangor ke Arah Tapak Warisan Dunia di sini hari ini .

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Selangor, Khairulzaman Ibrahim dan Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod

Persidangan berkenaan bertujuan antara lain untuk berkongsi hasil penemuan kajian saintifik melibatkan kedua-dua tapak berkenaan selain menjadi platform kerjasama bagi mengukuhkan proses pengiktirafan UNESCO ke atas kedua-dua tapak berkenaan.

PKGS merupakan batuan gergasi menegak terbina sepenuhnya dari mineral kuarza pelbagai bentuk sepanjang kira-kira 14 kilometer dan berada dalam Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan 1 dan boleh dilihat dari lebuh raya Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Tapak FRIM pula merupakan hutan hujan tropika buatan manusia yang terbesar dan tertua di dunia dengan keluasan kira-kira 544.3 hektar.

Tambah Paiman, kerajaan negeri dan agensi berkaitan juga sentiasa memantau kedua-dua tapak berkenaan bagi memastikan ia bebas dari sebarang unsur pencerobohan yang boleh menjejaskan peluang tapak berkenaan mendapat pengiktirafan daripada UNESCO.

Loading...

“Orang ramai juga perlu sama membantu kerajaan dalam menjaga kedua-dua tapak ini dan penduduk Selangor perlu berbangga dimana bila negeri ini mempunyai dua tapak warisan dunia,” ucapnya.

— BERNAMA