Kerajaan Selangor tawar urus jenazah, sedia khidmat kaunseling

Kerajaan Selangor tawar urus jenazah, sedia khidmat kaunseling

Kerajaan Selangor bersedia menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan jenazah mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, di sini, awal pagi tadi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu diputuskan dalam perbincangan ringkas bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Kita bersedia menghulurkan bantuan dari segi kenderaan van jenazah bagi memudahkan 24 mangsa dibawa ke kampung masing-masing.

“Selain itu, kita juga bersedia menghulurkan bantuan lain termasuk memberi kaunseling kepada keluarga mangsa kerana saya dimaklumkan ini adalah antara insiden besar yang membabitkan nyawa pelajar dan guru,” katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian.

Mohamed Azmin berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jawi juga akan mengadakan kerjasama supaya semua urusan jenazah dapat berjalan lancar.

{loadposition myposition}

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas musibah yang menimpa mereka.

“Kita turut merasa sedih dan berduka cita atas musibah ini dan mendoakan semoga roh mangsa yang terkorban akan mendapat rahmat dan ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT.

“Saya juga mendoakan semoga keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan dalam melalui ujian juga ketentuan daripada Allah,” katanya.

CATEGORIES
TAGS