Kerajaan Selangor sediakan 500 unit rumah mampu milik untuk dibeli generasi peneroka Felda

Kerajaan Selangor sediakan 500 unit rumah mampu milik untuk dibeli generasi peneroka Felda

Kerajaan Selangor buat pertama kalinya mengkhususkan 500 unit rumah mampu milik ‘Idaman Cahaya’ yang akan dibina di bandar raya ini untuk dibeli oleh generasi peneroka Felda.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata langkah itu adalah sebahagian daripada dasar kerajaan negeri untuk membantu generasi peneroka Felda memiliki kediaman sendiri pada harga jualan bersih RM250,000 bagi seunit rumah berkenaan.

“Projek pangsapuri ‘Idaman Cahaya’ merupakan usahasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan anak syarikat Encorp Berhad (Must Ehsan Development Sdn Bhd), yang mana 70 peratus kepentingan Encorp dimiliki oleh Felda.

“Projek ini dilihat spesifik dalam memberikan manfaat kepada generasi peneroka Felda menerusi kerjasama PKNS, selaku anak syarikat kerajaan negeri dengan Encorp,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan antara Konsortium PCSB-MGB dengan Must Ehsan Development Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Perjanjian hak pembangunan itu ditandatangani oleh Pengerusi Must Ehsan Development Sdn Bhd, Datuk Jaafar Abu Bakar dengan Konsortium PCSB-MGB (terdiri daripada PNSB Construction Sdn Bhd dan MGB Berhad) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Datuk Seri Ahmad Omar.

Majlis menandatangani perjanjian dan pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Amirudin, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Projek rumah pangsapuri mampu milik ‘Idaman Cahaya’ yang terletak di Encorp Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini menawarkan unit kediaman berkeluasan 1,001 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi, balkoni, ruang halaman dapur serta dua lot tempat letak kereta.

Sebanyak 1,800 unit rumah itu dirancang untuk dibina mulai awal tahun depan dan fasa pertamanya dijangka siap pada 2024.

Tambah Amirudin, projek tersebut dikategorikan sebagai ‘rumah idaman’ kerana setiap pembeli akan mendapat unit kediaman dilengkapi pendingin udara, almari pakaian, kabinet dapur, kabinet televisyen berserta televisyen, peti sejuk dan pemanas air mandi.

“Selain mengekhaskan unit rumah pangsapuri itu kepada generasi peneroka Felda, kerajaan negeri juga memperuntukkan 100 unit kediaman berkenaan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk melaksanakan program smart sewa.

“Projek perumahan ini bukan saja untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah tetapi juga golongan berpendapatan sederhana (M40) malah kita juga menawarkan solusi kewangan kepada golongan yang layak memohon,” katanya.

Beliau berkata pembangunan projek rumah idaman itu bukanlah untuk menukar dasar kerajaan negeri dalam menetapkan harga rumah mampu milik bagi golongan B40 kerana pihaknya tetap akan memenuhi permintaan membina pelbagai kategori ‘Rumah Selangorku’ yang berharga RM42,000 hingga RM250,000 seperti sebelum ini.

“Projek rumah idaman ini adalah penyelesaian terhadap beberapa isu tertangguh tapi ini bukan lesen untuk semua pemaju perumahan hanya membina rumah berharga RM250,000 saja kerana masih ada permintaan bagi rumah-rumah kategori A hingga E (RM42,000 hingga RM250,000),” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata langkah kerajaan Selangor mengekhaskan rumah untuk warga peneroka Felda itu membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri dan selaras dengan usaha kementeriannya menyediakan projek perumahan untuk generasi baharu Felda.

Beliau berkata buat masa ini, Felda juga sedang mengenal pasti projek-projek rumah generasi baharu Felda yang terbengkalai di seluruh negara khususnya di Pahang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan untuk dibaik pulih dengan 5,000 unit disasar siap dibaiki tahun ini pada kos RM250 juta.

“Saya menggesa jika ada anak-anak syarikat kerajaan negeri lain bersedia bekerjasama dengan KPKT serta kementerian saya, kami juga bersedia melihat usahasama seperti ini demi menyediakan suasana yang kondusif kepada generasi Felda,” katanya.- BERNAMA