Malaysia Dateline

Kerajaan Selangor tangguh program sumbangan sepanjang kempen PRK Dun Semenyih

Kerajaan Selangor menangguhkan sementara program rasmi terutama yang melibatkan penyerahan sumbangan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Semenyih.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata ini bagi mengelak timbul persepsi kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) mahu “membeli undi” untuk PRK berkenaan.

“Segala program rasmi kerajaan habis sampai ke 15 Februari, jadi 16 Februari (hari penamaan calon) ke depan tiada program terutama program sumbangan dan serahan sebab kita tidak mahu timbulkan sebarang persepsi dan cuba menampilkan sikap ‘gentleman’ dalam pertandingan.

“Namun, jika ada keperluan program rasmi sebagai menteri besar saya tetap akan hadir terutama yang telah dirancang dan direncana lama.

“Kita hanya melakukan atau melaksanakan apa yang telah kita rancang sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2019 Persekutuan Persatuan-persatuan Hokkien Malaysia hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih yang menyaksikan pertandingan 4 penjuru melibatkan calon PH, BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon bebas.