Malaysia Dateline

Kerajaan Selangor tubuh 7 focal point bantu mangsa banjir

Kerajaan negeri Selangor telah mengagihkan tugasan kepada para exconya bagi memastikan masalah yang disebabkan oleh banjir di negeri ini dapat diselesaikan segera.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bertujuan untuk memastikan kesemua usaha yang dilaksanakan adalah tersasar dan optimum.

MB Selangor turun untuk menyelamatkan bayi yang baru lahir ketika ketika banjir kelmarin.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), katanya, akan bertugas sebagai focal point bagi setiap aspek seperti menyelaras bantuan sukarelawan, pertubuhan belia, kebajikan, pembersihan, pemulihan infrastruktur, bantuan kesihatan dan pemantauan PPS.

Mereka yang ditugaskan mengikut tugasan khas adalah:

• Khairuddin Othman – Penyelarasan Sukarelawan dan Pertubuhan Belia

• Ganabatirau – Penyelarasan Bantuan Kebajikan

• Ng Sze Han – Penyelarasan Usaha Pembersihan Kawasan Banjir

• Ir Izham Hashim – Penyelarasan Pemulihan Infrastruktur

• Dr. Siti Mariah Mahmud – Penyelarasan Bantuan Kesihatan Mangsa Banjir (dibantu YB Borhan Aman Shah)

• Rodziah Ismail – Penyelarasan Bantuan Pusat Pemindahan Sementara

• Mohd Zawawi Ahmad Mughni – Penyelarasan Pemantauan Baikpulih Masjid & Surau

“Ini untuk memastikan setiap lokaliti yang memerlukan bantuan menerima bantuan secukupnya kerana tragedi ini tidak bertumpu kepada satu lokaliti sahaja malahan hampir ke seluruh negeri,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Sehingga jam 8.00 pagi semalam, seramai 30,632 individu dari 4,672 keluarga telah ditempatkan di 203 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh Selangor.

Angka sebenar mangsa dan keluarga dijangkakan meningkat berdasarkan dua (2) faktor:

Pertama, terdapat daerah-daerah yang menunjukkan peningkatan paras air seperti Kuala Selangor dan Kuala Langat seperti Sepang; dan

Izham dan pasukannya berusaha membuka kunci air yang rosak selepas dilanda kayu semasa banjir baru-baru ini.

Kedua, ada sebahagian mangsa-mangsa memilih untuk tetap tinggal di kediaman masing-masing walaupun bantuan mencari dan menyelamat (S.A.R) sudahpun sampai kepada mereka.

Sehingga kini 17 kematian telah dicatatkan namun pengesahan PDRM masih diperlukan berkenaan punca kematian setiap mangsa.

“Justeru saya mengumumkan sejumlah RM10,000.00 sumbangan Kerajaan Negeri Selangor kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat banjir,” katanya.

Sepanjang Operasi Mencari dan Menyelamat, sebanyak 453 jentera dan aset daripada pelbagai agensi dan jabatan Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan seperti Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta RELA.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua sukarelawan yang tampil ke hadapan mendengar rintihan rakyat.

“Para penjawat awam dan sukarelawan ternyata memenuhi semboyan beyond the call of duty untuk membantu operasi menyelamat dan memberi makanan serta keperluan asas kepada mereka,” kata beliau.

Pada waktu ini, katanya, keutamaan Kerajaan Negeri adalah menyelamatkan nyawa, menghulurkan bantuan kepada mangsa di PPS dan membersihkan kawasan perumahan mangsa supaya mereka boleh mula kembali ke rumah.

“Setelah proses ini selesai, fokus seterusnya akan bertumpu kepada analisis skala kerosakan infrastruktur, pemulihan infrastruktur termasuk pengukuhan sistem tebatan banjir terutamanya kawasan-kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Bagi usaha ini, sekurang-kurangnya 2,817 petugas dari 28 agensi akan diatur-gerak untuk meneruskan proses pemulihan agar Selangor bangkit dari musibah banjir yang melanda ini.