Kerajaan Selangor turunkan harga siling ayam kepada RM8 sekilogram

Oleh Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Kerajaan negeri Selangor menawarkan harga siling runcit ayam standard RM8.00 sekilogram menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, harga tersebut lebih rendah berbanding harga siling runcit ayam standard yang ditetapkan kerajaan Persekutuan sebanyak RM8.90 sekilogram.

Menurutnya, sebagai permulaan, sebanyak 50,000 ekor ayam standard akan diperuntukkan bagi tempoh dua minggu bermula Isnin depan.

Ia bakal melibatkan dua premis jualan utama iaitu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dan Wisma PKPS.

“inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi mengawal peningkatan harga makanan di Selangor.

“Fokus utama adalah untuk membantu mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan menerusi intervensi kerajaan.

“PKPS dapat menetapkan harga siling ayam lebih rendah dengan mengurangkan kadar sewaan bagi peniaga ayam yang menyewa di Pasar Borong Selangor,” katanya dalam sidang media khas jualan ayam murah di Wisma PKPS hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula hari ini.

Harga tersebut akan kekal sehingga 5 Jun 2022 iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga makanan lain yang berkaitan.

Harga runcit RM8.90 merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 hingga 31 Disember 2021 serta RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022.