Malaysia Dateline

Kerajaan serius bantu golongan petani, nelayan di Tanjung Piai

Kerajaan mengambil pendekatan yang amat serius dalam membantu golongan nelayan dan petani di Parlimen Tanjung Piai.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rata-rata golongan nelayan dan petani di negara ini termasuk di Tanjung Piai adalah kumpulan B40.

Oleh demikian, jelas beliau, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerja dengan lebih keras lagi bagi memastikan nasib petani dan nelayan di negara terbela dengan baik.

“Kami (kerajaan) sedaya -upaya akan mengerah seluruh khidmat di samping menghulurkan apa jua bantuan dan sumbangan demi membela nasib para petani dan nelayan khususnya di kawasan Tanjung Piai ini.

“Ini ditambah lagi dengan pengalaman saya sebagai anak tempatan di Serkat ini yang pernah menjual hasil tani dan nelayan di kampung suatu ketika dahulu.

“Justeru, sebaik dilantik memegang profolio di kementerian ini,saya berjanji dan berazam untuk membantu golongan ini dijaga dan dibela dengan sebaik-baiknya, ‘ kata Salahuddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Promosi dan Serahan Logo Tahunan Melawat Malaysia di Kampung Serkat, Tanjung Piai di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik Menteri Pelancongan Kuzin Husin dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Datuk Mazlan Aiman.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar golongan petani dan nelayan di Tanjung Piai bersama-sama dengan kerajaan yang sedia ada bagi merealisasikan impian seiring dengan “Kemakmuran Bersama ‘ yang dicita-citakan.

“Azam saya ialah agar ekonomi mereka dapat dipertingkatkan sekali gus memajukan taraf hidup masing-masing.

” Maka dengan itu saya menyeru supaya kita bersama-sama menyokong polisi kerajaan sedia ada untuk kita berganding bahu meningkatkan lagi tahap ekonomi keluarga selepas ini, ‘ jelas beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara.

Dalam pada itu, esok adalah hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecik (PRK) Parlimen Tanjung Piai berikutan kematian Ahli Parlimennya, Dr Mad Farid Mad Rafik pada 21 September lalu.

Enam calon iaitu, Haji Karmaine Sardini yang mewakili Bersatu-PH akan ditentang wakil MCA, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas pada PRK kali ini.