Malaysia Dateline

Kerajaan sokong usahasama swasta bangunkan lebih banyak projek wakaf

Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf ketika berucap pada majlis perasmian pembangunan dan pecah tanah projek wakaf Setee Aisah (2) di Seberang Jaya semalam.

Lebih banyak projek pembangunan komersial diharapkan dapat dibangunkan atas tanah wakaf seluruh negara.

Demikian dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf selepas majlis majlis perasmian pecah tanah Projek Wakaf Setee Aisah (2) di Seberang Jaya semalam.

Jelas beliau, adalah diharapkan projek tersebut dapat dilaksanakan di seluruh negara bagi memberi kemudahan pemilkan kediaman khususnya kepada umat Islam.

“Adalah diharapkan projek pembangunan atas tanah wakaf tersebut dengan kerjasama pemaju swasta dapat memberi pulangan yang lebih bermanfaat kepada umat Islam.

“Di samping itu ia juga dapat menyelesaikan beberapa isu yang melibatkan tanah-tanah yang tidak dapat dibangunkan.

“Projek sedemikian mampu menjadi ikutan kepada negeri-negeri lain bagi membangunkan tanah-tanah wakaf sedia ada,” ujar beliau.

Malah katanya, kerajaan sememangnya menyokong pembangunan atas tanah wakaf dengan usahasama pemaju swasta.

“Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Malaysia (Jawhar) turut diwujudkan oleh kerajaan bagi memastikan sumber kewangan dapat diperolehi serta memajukan mana-mana tanah yang telah diwakafkan.

“Undang-undang khusus mengenai pembangunan tanah wakaf ini akan turut diwujudkan kerana ia merupakan suatu perkara yang penting.

“Dengan kewujudan undang-undang sedemikian ia akan dapat memastikan pembangunan tanah-tanah wakaf tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih telus serta bertanggungjawab,” tegasnya.

Pembangunan yang akan dilaksanakan atas tanah wakaf Setee Aisah (2) kali ini merupakan usahasama antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bersama UDA Holdings Berhad.

Melalui projek perumahan tersebut sebanyak 30 unit rumah teres tiga tingkat serta 422 unit rumah kos sederhana akan dibangunkan.

Selain itu sebanyak 150 unit rumah kos rendah akan turut dibangunkan yang mensasarkan ianya diperuntukkan kepada golongan asnaf dan B40.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman serta Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malikl Abul Kassim.