Malaysia Dateline

Kerajaan tangguh peralihan ke fasa endemik

Kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat ke atas negara-negara yang telah melaporkan penyebaran Varian of Concern (VOC) Omicron.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, kerajaan mengambil maklum bahawa bukan sahaja varian Omicron telah menular di Selatan benua Afrika, tetapi juga di beberapa buah negara antaranya Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.

Buat masa ini katanya yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, telah memutuskan untuk menangguhkan seketika usaha kerajaan untuk beralih ke Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut tetang varian Omicron ini.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada dan berdisiplin dalam menjaga keselamatan diri dan orang sekeliling iaitu dengan menjaga SOP,”katanya dalam kenyataan.

VOC Omicron berisiko kerana ia boleh merebak dengan lebih mudah dan pantas namun ia masih boleh dikesan melalui ujian makmal sedia ada.

Buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat pemantauan rapi dan tindakan segera yang telah diambil oleh KKM dan pendekatan seterusnya dalam masa terdekat berkaitan varian ini.

Beberapa tindakan awal telah dilaksanakan kerajaan antaranya pengembara warga Malaysia yang merancang ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho Mozambique, Namibia, dan Zimbabwe tidak dibenarkan meneruskan perjalanan mereka.