Malaysia Dateline

Kerajaan tawar harga terbaik untuk tanah Kampong Baru

Kerajaan menawarkan untuk membeli tanah di Kampong Baru pada kadar RM850 satu kaki persegi yang merupakan kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi satu kenyataan yang diedarkan hari ini, memaklumkan ia mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan oleh orang Melayu sahaja.

Menurut kenyataan itu, penilaian dibuat berdasarkan transaksi-transaksi jualan lot tanah di Kampong Bharu terdahulu dan nilai tawaran tersebut telah dibentangkan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Khalid membentangkan tawaran itu kepada pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu pada Sesi Town Hall berhubung pembangunan semula kampung itu yang diadakan di Dewan Perdana Felda, hari ini.

“Selain nilai harga tanah, apa-apa struktur atau bangunan di atas tanah pemilik dan pewaris juga turut akan dinilai bagi tujuan pulangan kepada mereka.

“Oleh itu, jumlah pulangan yang bakal diterima oleh pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu adalah jumlah harga tanah ditambah dengan jumlah nilaian struktur di atas tanah tersebut,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kerajaan turut memperkenalkan empat tawaran untuk dipilih sendiri oleh setiap pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu bagi urusan jual beli iaitu pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas (SPV).

“Tawaran jual beli ini adalah berdasarkan lot tanah dan bukannya setiap pemilik yang berdaftar dan kerajaan menegaskan pemilikan tanah di kampung berkenaan akan tetap menjadi hak orang Melayu tanpa kompromi.

“Sebanyak 45,000 unit kediaman pelbagai jenis akan dibangunkan khususnya kepada orang Melayu. Dijangka melalui pembinaan lot kediaman yang dirancang ini akan membolehkan bilangan orang Melayu bertambah di kawasan tersebut berbanding sekarang yang dimonopoli oleh warga asing.

“Hasil pembangunan semula kampung ini akan dapat mengembangkan lagi pemilikan hartanah orang Melayu di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu lagi.