Kerajaan tebuk ikut atap: Tabik spring untuk Hadi, kata Kadir Jasin
"Ini memang kerja pencuri dan kaki mengendap kelas dunia - intai dan masuk ikut celah atap," tulis Kadir.

Kerajaan tebuk ikut atap: Tabik spring untuk Hadi, kata Kadir Jasin

Bekas Penasihat Media kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin membuat ‘tabik spring’ kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila berkata, kerajaan yang ada sekarang bukan dibentuk melalui pintu belakang tetapi “tebuk ikut atap.”

“Yang ini saya tabik spring kepada Tuan Guru Abdul Hadi. Masuk ikut bumbung ini selalunya bomba saja buat. Sekarang Muhyiddin buat. Hebat.

Kadir mengulas berita yang disiarkan oleh Malaysia Dateline sebelum ini.

“Tapi yang perempuan dan jantan lembut tu boleh ke kerabat masuk ikut celah atap?” tulis Kadir ketika berkongsi laporan Malaysia Dateline yang melaporkan berita kenyataan Hadi.

Dalam berita itu, Hadi berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang bukan masuk ikut pintu belakang tetapi tebuk ikut atap.

Menurut Kadir, kerja masuk ikut atap ini bukan kerja orang biasa.

“Ini memang kerja pencuri dan kaki mengendap kelas dunia – intai dan masuk ikut celah atap.

“Kalau atap rumbia masuk akallah. Tapi rumah dan bangunan sekarang semua atap genting atau zink.

“Tak tahulah kalau Tuan Guru Abdul Hadi dah ajar Muhyiddin ilmu ghaib dan ilmu toyol,” tulis bekas Ketua Pengarang akhbar NST itu.

Bagi Kadir, walaupun Hadi tidak menyertai Kabinet Muhyiddin, dia mesti tahu apa yang Muhyiddin buat.

“Kalau macam tu, walaupun Tuan Guru Abdul Hadi tak dibawa masuk Kabinet, dia mesti tahu apa yang Muhyiddin buat.

“Wak Zahid macam mana? Orang Jawa pun setahu saya pandai ilmu ghaib ni.

“Jadi bukan saja pintu belakang Perikatan Nasional masuk. Semua lubang dan celah mereka masuk. Ajaib,” tulis Kadir, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.