Kerajaan telus beri impak positif kepada pelabur, kata Guan Eng

Kerajaan telus beri impak positif kepada pelabur, kata Guan Eng

Ketelusan kerajaan berkenaan hutang kerajaan Persekutuan bakal memberi impak yang positif kepada para pelabur terutamanya pelabur antarabangsa bagi jangka masa yang panjang.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata situasi pergerakan pasaran tidak boleh diukur dalam jangka masa yang pendek seperti kejatuhan nilai saham di Bursa Malaysia baru-baru ini kerana ia tidak memberikan gambaran pasaran secara keseluruhan.

“Pada awalnya, kemungkinan pelabur-pelabur ini akan merasa terkejut (dengan jumlah hutang kerajaan). Tetapi saya rasa mereka telah mengambil kira maklumat ini (terlebih dahulu). Apa yang penting sekarang ialah kita mahu tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia sekarang adalah ‘Malaysia Baharu’.

“Kita tidak mahu sembunyikan dan palsukan penyata kewangan. Kita mahu berterus-terang. Apa yang anda lihat itulah yang anda dapat.

“Saya rasa ketelusan ini akan meyakinkan pelabur untuk jangka masa panjang,” katanya dalam program Bicara Khas terbitan RTM1 malam tadi lapor Bernama.

Lim berkata Malaysia memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun atau lebih untuk mendapat gambaran sebenar berkenaan kestabilan pasaran saham dan ekonomi negara.

“Saya yakin, sekiranya kita dapat tunjukkan kepada dunia bahawa kerajaan hari ini telus dan boleh dipercayai, mereka (pelabur) akan lebih yakin untuk datang dan melabur di dalam negara kita,” katanya.

Beliau juga yakin kredibiliti Malaysia di mata agensi penarafan seperi Moody’s dan S&P tidak akan terjejas dalam tempoh jangka panjang kerana usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan sekarang memperlihatkan kesungguhan dan sifat tanggungjawab fiskal terhadap ekonomi domestik.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote