Kerajaan Terengganu pantau kawasan berisiko tercemar

Kerajaan Terengganu pantau kawasan berisiko tercemar

Kerajaan Terengganu, dengan bantuan agensi di peringkat pusat dan negeri, akan terus memantau kawasan yang berpotensi tercemar bagi memastikan tidak berlaku tragedi akibat pencemaran.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata walaupun pencemaran di Terengganu sangat terkawal dan jauh lebih baik berbanding negeri lain, pemantauan tetap perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab.

“Dalam mesyuarat Majlis Air Negara beberapa bulan lepas, kita dapat laporan suasana pencemaran di Terengganu sangat terkawal namun kita berharap langkah pemantauan terus diambil untuk mengekalkan tahap itu di paras yang lebih baik.

“Kita sangat dukacita dengan apa yang berlaku di Kuala Koh ketika ini serta tragedi pencemaran yang berlaku di Sungai Kim Kim, Johor satu waktu dahulu, ia perlu dijadikan pengajaran untuk semua pihak,” katanya.

Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas kerana radang paru-paru, namun punca penyakit itu akan diketahui setelah beberapa ujian yang dilakukan selesai dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun menafikan penularan penyakit itu ada kaitan dengan isu pencemaran air atau aktiviti pembalakan.

Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu.

— BERNAMA