Kerajaan Terengganu roboh rumah warisan 118 tahun dibina atas tanah persendirian?

Kerajaan Terengganu roboh rumah warisan 118 tahun dibina atas tanah persendirian?
Raja Kamarul Bahrin (empat dari kiri) bersama ahli keluarga Wan Mokhtar dan barisan peguam mereka ketika hadir menyerahkan dokumen berkaitan rumah warisan berusia 118 tahun itu di Parlimen semalam.

Sebuah rumah warisan Negeri Terengganu berusia 118 tahun yang dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu didakwa dibina atas tanah persendirian bukan di atas tanah kerajaan negeri.

Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, sepatutnya kerajaan Negeri Terengganu mengunakan pendekatan ‘rahmatan lil Alamin’ untuk rakyat negeri itu dalam menangani isu rumah warisan keluarga milik Wan Mokhtar Ahmad yang telah dirobohkan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada 21 November lalu.

Semalam adik beradik serta ahli keluarga terdekat Wan Mokhtar dan empat peguamnya telah hadir di Parlimen untuk bertemu beliau dan menyerahkan dokumen berkaitan hak milik ke atas tanah yang diduduki keluarga itu sejak 1940-an lagi.

Diantara dokumen yang diserahkan kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu seperti:
a) surat jual beli rumah bertarikh 11 November 1971.
b) surat jual beli rumah bertarikh 6 Jun 1977
c) Sheet rasmi Lot 2795, (lot rumah tersebut), Mukim Kuala Terengganu oleh Pengarah Ukur Terengganu – Jabatan Persekutuan- Malaysia
d) resit Cukai Taksiran -rumah tersebut bertarikh 26 November 2017 dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
e) Pelan Rumah tersebut oleh arkitek -Ahmad Rahim Arkitek- Bertarikh November 1941.

Menurut Raja Kamarul Bahrin lagi, dengan dokumen yang diterimanya itu dengan sendirinya membuktikan tanah tersebut adalah tanah milik perseorangan dan bukan tanah kerajaan Terengganu, seperti yang didakwa sebelum ini.

“Ini bersandarkan kepada cukai taksiran terakhir yang di terima oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bertarikh 26 November 2017 .

“Pihak keluarga sedang menimbang membuat laporan kepada SPRM dan juga tindakan Mahkamah.

“Kami menggesa pihak Kerajaan Negeri Terengganu menggunakan pendekatan Rahmatan Lilalamin (Rahmat untuk Semua) untuk orang Islam dan juga pada bukan Islam.

“Islam menekankan keadilan melalui kasih sayang lebih terdahulu dari hukuman untuk menunjukkan keindahan Agama Islam kita,” ujarnya.

Tinggal kenangan… Raja Kamarul Bahrin (tiga dari kiri) ketika bersama penduduk mengadakan demontrasi di hadapan rumah warisan berusi 118 tahun sebelum ia dirobohkan.

Menurut Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu ini lagi, pencerobohan secara tidak bertamadun ke atas rumah yang diduduki Wan Mokhtar di Kampong Tanjung, Kuala Terengganu itu telah menimbulkan berbagai reaksi sedih orang ramai.

“Ada juga yang hanya melihat isu tersebut dari sudut undang-undang dunia semata-mata. Masalah pandangan sebegitu adalah realiti dunia hari ini undang-undang dunia hari ini banyak lebih “berpihak” kepada mereka yang kaya dan berpengaruh.

“Mereka yang berada boleh mengguna peguam terbaik dan juga mempunyai ‘pengaruh’ dengan pihak berkuasa. Dengan itu pihak yang kurang berada akan kurang mendapat pembelaan dan “pertimbangan” berbanding dengan yang kaya.

“Walaupun jika pihak kerajaan mempunyai hak dan kuasa merobohkan bangunan tersebut, adakah itu caranya harus di lakukan ?

“Islam menuntut pembelaan yang lebih saksama untuk baik yang miskin atau kaya dan budaya Melayu menuntut pendekatan yang lebih beradat.

“Cara rumah tradisi Melayu berusia sekitar seratus tahun tersebut ditolak dengan ganas dan jatuh hancur ke bumi amat tidak beradat dan menghinakan.

“Kenapa tidak ianya di buka dengan cara sistematik dan baik kerana rumah Terengganu memang di rekabentuk untuk senang di buka dan di pindah, ini
Apa yang berlaku adalah ianya di tolak secara ganas jatuh tersungkur hancur menyembah bumi seolah-olah tiada nilai tanpa maruah tradisi rumah Melayu sementara bangunan moden baru sekeliling berdiri gah menyaksikan penghinaan ini.

“Adakah ini cara pembelaan nilai Islam dan Melayu hari ini ?

“Islam menyuruh ke arah sikap lebih berperikemanusiaan dan adat Melayu pula menyarankan pemeliharaan maruah warisan bangsa kita.

“Dimanakah nilai-nilai ini di tengah tengah laungan Islam dan Melayu di martabatkan ?

“Ada pihak menyatakan bangunan tersebut kelihatan kurang menarek secara visualnya untuk di selamatkan . Nilai rumah warisan bukan hanya di nilai dari aspek kelihatan cantik atau tidak tetapi juga dari sudut seni binanya, jasanya dan sejarahnya,” ujar Raja Kamarul Bahrin yang juga seorang arkitek profesional.

Beliau sebelum ini bersama beberapa orang warga Tanjung dan Ladang telah pernah membuat demonstrasi sempena Hari Warisan Sedunia di hadapan rumah tersebut.

” Saya telah terlibat dengan Badan Warisan Malaysia sejak tahun 1983 sebagai salah seorang pengasas pertubuhan tersebut bersama Almarhun Tan Sri Mubin Sheppard dan juga Pengerusi Petronas pada masa itu- Tan Sri Abdullah.

“Mengikut Islam walaupun dalam melaksanakan kuatkuasa undang-undang, kebijaksanaan dan sikap berperikemanusiaan adalah penting. Lagipun ini bukan lah melibatkan kes kesalahan jenayah.

“Walaupun dalam kes jenayah mencuri sekali pun kalau pesalah amat miskin pertimbangan perikemanusiaan meringankan hukuman patut di beri. Ini bukan pun kes jenayah,” ujarnya apabila usahanya bersama pemilik rumah dan penduduk tempatan untuk mempertahankan rumah warisan itu disalahertikan hanya untuk mengambil kesempatan politik semata-mata.

Baca: Ambil tanah, roboh rumah warisan