Malaysia Dateline

Kerajaan Terengganu seharusnya jumpa atlet, kata Syed Saddiq

Kerajaan Terengganu seharusnya memanggil atlet dan persatuan sukan  sebelum membuat keputusan meminta atlet beragama Islam dari negeri itu untuk memakai pakaian patuh syariah setiap kali bertanding dalam sebarang kejohanan, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Dalam bab ini tiada masalah jika ingin menggalakkan (menutup aurat), tetapi dalam beberapa sukan khususnya seperti gimrama, acara terjun, renang, ia mempunyai ‘citarasanya’ tersendiri.

“…saya takut kerajaan negeri belum lagi berdialog dan berjumpa dengan mereka (atlet) selepas itu keputusan itu dibuat tanpa berunding dengan atlet.

“Di Terengganu sendiri kita ada atlet berbasikal Azizul Hasni Awang yang membanggakan bukan sahaja negara tetapi juga orang Islam dan bukan Islam di negara ini,”katanya kepada pemberita  selepas merasmikan  Cruyff Court Felda Lurah Bilut, di sini hari ini.

“Jadi saya cadangkan jumpa dulu dengan mereka (atlet) tanya pandangan dan Insha Allah kita akan jumpa titik pertemuan untuk langkah pada masa akan datang bersamanya,”katanya.

Kementerian sendiri katanya bersedia berjumpa dengan kerajaan negeri Terengganu bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara itu.

Kerajaan negeri Terengganu pada Ahad lalu mengeluarkan kenyataan, semua atlet di Terengganu yang beragama Islam perlu memakai pakaian patuh syariah ketika beraksi dalam sebarang kejohanan dalam atau luar negara pada masa akan datang.

Sebagai permulaan kepada dasar itu, semua pemain bola sepak beragama Islam yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikehendaki berbuat demikian .

Berikutan itu Syed Saddiq menerusi Instagramnya semalam menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan perkara itu dengan meminta kerajaan negeri Terengganu menghormati pilihan atlet serta tidak menganggu mereka menyebabkan netizen mengecam pendirian kenyataan menteri berkenaan.

Syed Saddiq berkata walaupun sedar kenyataannya semalam mendapat reaksi kurang senang daripada pelbagai pihak, namun sebagai Menteri Belia dan Sukan, beliau perlu mempertahankan kebajikan atlet-atlet di negara ini.

“Apabila kenyataan itu dikeluarkan (meminta atlet berpakaian patuh syariah) saya sendiri terkejut… banyak persatuan sukan, atlet-atlet dan ibu bapa sendiri menghubungi saya, jadi saya  megeluarkan kenyataan membela mereka.

“Saya faham (hukum syariat), cuma dalam bab ini saya bertanggungjawab membela kebajikan atlet dan saya berdiri teguh di atas kenyataan itu,” katanya

Perasmian Cruyff Court Felda Lurah Bilut itu turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Yayasan Hasanah (Hasanah) Shahira Ahmed Bazari dan Duta Belanda ke Malaysia Karin Mossenlechner serta Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda Anuar Malek.

–BERNAMA