Malaysia Dateline

Kerajaan teruskan hasrat mansuh Akta Antiberita Tidak Benar

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, kerajaan akan tetap meneruskan hasrat untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 atau Akta 803 kerana negara sudah mempunyai undang-undang mencukupi bagi memantau penyebaran berita palsu.

Walau bagaimanapun, ujarnya, pemansuhan akta itu tidak bererti kerajaan akan mengamalkan sikap toleransi terhadap penyebaran berita palsu termasuk penghinaan kepada Nabi Muhammad S.A.W, mana-mana agama atau institusi diraja.

Menurut Ahli Parlimen Sepang itu, tiada rakyat Malaysia disiasat atau didakwa di bawah akta tersebut sejak dikuatkuasakan 11 April tahun lalu.

“Secara teknikal, sehingga pemansuhan akta tersebut, dari segi perundangan Akta 803 masih boleh dikuatkuasakan, namun memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendukung prinsip ‘rule of law’ jadi tiada mana-mana siasatan jauh sekali pendakwaan dilakukan ke atas mana-mana individu.

“Namun begitu, terdapat siasatan dan pendakwaan dilakukan terhadap pihak-pihak tertentu terhadap jenayah penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W, agama dan raja-raja sama ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan di bawah Kanun Keseksaan,” jelasnya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Hanipa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (BN-Maran) yang menanyakan berapa ramai individu yang telah dikenakan tindakan mengikut Akta AntiBerita Tidak Benar termasuk yang mengeluarkan kata-kata menghina raja dan menyentuh sensitiviti agama dan bangsa.