Malaysia Dateline

Kerajaan tiada duit, Azmin pula tidak kompeten tarik pelabur asing

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa mencari jalan penyelesaian bagaimana mahu menambahkan hasil negara.

Ini berikutan pengakuan Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sekarang sudah tidak banyak wang ekoran kesan daripada perbelanjaan yang perlu disalurkan berkaitan Covid-19

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Puad Zarkashi berkata, kerajaan tidak salah untuk berhutang bagi membantu rakyat semasa pandemik COVID-19 tetapi perlu ada formula baru untuk tambah hasil negara.

Apa yang dikesalkan katanya, menteri kanan yang jaga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula semacam tidak kompeten menarik pelabur asing.

“Minta Azmin jangan tidur.

“Kerja luar sudah kurang. Parlimen sudah lama cuti. Itu pun ada menteri yang tidak cukup tidur. Dalam majlis boleh tidur nyenyak,” kata beliau.

Puad juga berkata, kerajaan tidak perlu berulang-ulang mencanang PN mengutamakan rakyat sebaliknya segera menyelesaikan bagaimana mahu menambahkan hasil negara.

“Apakah kerajaan PN akan menaikkan lagi had hutang negara kepada 64.1% pada akhir 2021. Itu melepasi paras 60% yang luluskan oleh Parlimen pada bulan Ogos 2020?

“Kerajaan PN rancang berhutang sebanyak RM95B pada tahun 2021. Bermakna hutang akan naik kepada RM975 bilion (berbanding RM687B sebelum PRU14),” katanya menerusi Facebooknya.

Bahkan beliau juga mempersoalkan mengapa meneruskan lagi dasar SST yang ternyata gagal dan meminta agar kerajaan PN menimbang semula pelaksanaan GST.

Terdahulu, Muhyiddin menjelaskan lebih RM600 bilion dibelanjakan dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

Menurut Muhyiddin, perbelanjaan ketika pandemik COVID-19 sebanyak RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan dan RM322 bilion untuk belanjawan.