Malaysia Dateline

Kerajaan tidak berhajat hidupkan semula ISA, kata Muhyiddin

Kerajaan tidak berhajat menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang sudah dimansuhkan sejak 2012 dan akan menggunakan undang-undang yang ada bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, hasil dapatan sebuah jawatankuasa yang dibentuk mendapati, undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) itu penting dan harus dipertahankan walaupun mungkin memerlukan beberapa pindaan kelak.

“Jika undang-undang sedia ada tidak dipertahankan, akan wujud pihak yang berfikir mereka bebas untuk buat apa-apa sahaja yang boleh mengancam negara dengan menjadi gangster atau pengganas.

“Kerana itu kita pakai undang-undang yang ada dan kuatkuasakan sepenuhnya oleh polis dan pihak berkuasa yang lain,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Tahunan kedua parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Institut Masa Depan Malaysia di bawah parti itu akan menjadi badan pemikir dalam membuat kajian-kajian mendalam tentang hala tuju parti dan orang Melayu

“Badan pemikir ini akan membuat kajian ‘empirical’, apa yang harus dilakukan parti, dan apa tindakan perlu dilakukan berdasarkan kajian-kajian mengenai parti dan orang Melayu. Pastinya ia berkaitan Agenda Bumiputera baharu demi kemakmuran bersama,” katanya

Agenda Bumiputera baharu dicadang Muhyiddin sewaktu merasmikan Persidangan Tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Jumaat lalu, yang akan dilaksanakan sebagai agenda nasional, dan benar-benar dapat memajukan orang Melayu dan Bumiputera secara keseluruhannya.

Mengulas lanjut mengenai survival parti, Muhyiddin berkata beliau bersetuju dengan pembahas pada perhimpunan tahun ini bahawa adalah penting untuk menambah ahli dan menguatkan kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian.

Ini jelasnya, Bersatu adalah tempat bagi orang Melayu bernaung yang perlu didokong menerusi gerak kerja seolah-olah pilihan raya umum sudah hampir demi agama, bangsa dan tanah air.

“Saya setuju dengan saranan supaya kukuhkan kedudukan bahagian dan tentukan cawangan berdasarkan Pusat Daerah Mengundi (PDM). Kita ingin tentukan keberadaan Bersatu dan menarik orang ramai melalui perkara-perkara positif dan bukannya melalui perselisihan faham sesama kita,” katanya.

Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang bermula sejak Jumaat hingga hari ini, adalah yang pertama kali diadakan selepas Pakatan Harapan (PH), yang dianggotai Bersatu, menerajui kepimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu.- BERNAMA