Malaysia Dateline

Kerajaan tidak berjanji hapus tol dalam manifesto, kata Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah berjanji untuk menghapuskan tol yang merujuk kepada janji ke-6 manifesto Pakatan Harapan.

Ini kerana katanya, penghapusan tol tidak boleh dilakukan serta merta ekoran dana yang besar diperlukan untuk menyelenggara lebuhraya, malah tidak semua konsensi lebuh raya yang meraih keuntungan.

Katanya, manifesto PH mengandungi ayat berikut: Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya. Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

“Kajian menunjukkan bahawa Kerajaan terpaksa belanja puluhan billion Ringgit untuk ambil alih lebuhraya bertol dengan secara serta merta. Setelah ambil alih penyelenggaraan, akan memerlukan berbilion Ringgit lagi.

“Kerajaan dahulu telah hutang ribuan billion Ringgit (trillion ringgit). Hutang mesti dibayar jika tidak hendak dijadikan muflis. Pembayaran faedah hutang dan hutang pokok menelan berbilion ringgit.

“Apabila dibayar, dana Kerajaan tidak mencukupi untuk pembangunan infrastruktur yang penting jika beban pembelian dan penyelenggaraan lebuhraya ditambah kepada operasi dan pembangunan Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, setelah dikaji, Kerajaan tidak mampu melayan permintaan projek oleh rakyat jika dibeban dengan penyelenggaraan lebuhraya.

“Apabila kajian yang mendalam dibuat, penghapusan tol segera tidak boleh dilakukan kerana memerlukan pembelian oleh Kerajaan.

“Masa diperlukan untuk mengurangkan beban rakyat kerana menghapuskan tol. Tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul.

“Jika ada swasta yang akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbang,” jelasnya lagi.