Kerajaan tidak halang Zakir Naik berceramah asalkan bersyarat

Kerajaan tidak halang Zakir Naik berceramah asalkan bersyarat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan tiada larangan rasmi kepada mana-mana penceramah luar yang ingin berceramah di negara ini selagi mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata kebebasan itu termasuk buat pendakwah dari India, Zakir Naik.

Bagaimanapun katanya, penceramah itu perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan tidak kira siapa penceramah itu sama ada Zakir Naik atau penceramah lain.

“Kita mengamalkan dasar terbuka, garis panduan itu ialah pertama, mesti mendapat kebenaran penganjur; kedua selagi tidak ada isu kontroversi sama ada dari segi penceramah itu atau aduan mengenainya yang menimbulkan masalah kepada masyarakat Islam dan Malaysia secara umum,” katanya.

Pada dasarnya kata Mujahid, tidak ada halangan dalam konteks kerajaan hari ini untuk mana-mana penceramah menyampaikan ceramah.

Mujahid yang juga anggota parlimen Parit Buntar berkata demikian semasa ditemui media di Putrajaya bagi mengulas mengenai status Zakir yang dikehendaki kerajaan India.

Isu larangan berceramah itu timbul semula selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim diwawancara akhbar The Hindu.

Anwar dalam lawatannya ke India diminta mengulas permohonan rasmi dari New Delhi untuk mengekstradisi Zakir.

Loading...

Bagaimanapun, Anwar dalam kenyataan balasnya berkata kerajaan Malaysia memerlukan bukti rasmi sebelum dapat menghantar pulang pendakwah terbabit.

Mengulas lanjut perkara itu, Mujahid berkata Malaysia tidak dapat bertindak seperti diminta New Delhi kerana perkara itu telah dimuktamadkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Zakir berada di negara kita dan kita tak diektradisi dia kerana (perkara) itu telah dibincangkan perdana menteri, iaitu selagi dia itu tidak menimbulkan apa-apa masalah (dia tidak akan dihantar pulang),” katanya.

Sementara itu, Mujahid turut mengingatkan kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa mutlak dalam isu larangan terbabit.

Kata Mujahid, ini kerana ia bergantung kepada kuasa negeri-negeri dalam Malaysia.

“Saya nak ingatkan kita tidak ada tangan yang mutlak, contohnya kalau di Selangor merekalah yang mempunyai kuasa itu (sama ada melarang atau memberikan kebenaran),” katanya dipetik Malaysiakini.

Bagaimanapun kata Mujahid, bagi beberapa negeri tertentu seperti Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang ia akan ditentukan Putrajaya.

Namun kata Mujahid jika pihak berkuasa agama minta nasihat barulah Putrajaya akan memberikan pandangan.

New Delhi sebelum ini mendakwa pendakwah kelahiran India itu menyebarkan ucapan berbaur kebencian dan ada kaitan dengan keganasan, tetapi ini dinafikan oleh Zakir.

Pada 6 Julai tahun lepas, Mahathir berkata Zakir boleh menetap di Malaysia dengan syarat beliau menjaga tingkah lakunya.

Sebagai responsnya, Zakir berjanji bahawa dia tidak akan mengganggu keharmonian di Malaysia atau melanggar undang-undang negara.