Malaysia Dateline

Kerajaan tidak halau penduduk Kampong Bharu keluar dari ibu kota

Pengumuman terbaru mengenai harga pembelian tanah Kampong Bharu, hari ini membuktikan bahawa tuduhan kerajaan kononnya mahu mengusir orang Melayu keluar dari ibu kota, adalah tidak benar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, kerajaan mengalakkan pemilik tanah membeli rumah yang akan dibangunkan di kawasan berkenaan agar mereka dapat mengekalkan identiti mereka.

“Saya juga berharap, pemilik asal akan membeli rumah yang kami bina nanti. Kami mahu menggalakan orang Kampong Bharu duduk dan datang semula ke kampung tersebut.

“Apa yang kita mahu, mereka datang semula dengan cara kita memberi pegangan saham yang akhirnya akan menjadi milik mereka. Kerajaan membayar RM1,000 bagi satu kaki persegi iaitu RM850 (pulangan secara tunai) dan (baki) RM150 dalam pegangan saham mereka.

Khalid menganggap ada pihak marah terhadapnya kerana tidak dapat nak jadi broker jual tanah Kampong Bharu.

“Jadi, mereka masih memiliki tanah itu. Apabila ada saham dalam tanah, mereka boleh bersuara memberi cadangan bagaimana untuk membangunkan apa-apa yang kerajaan mahu bentangkan.

“Apabila mereka jual habis tanah mereka, mereka tak boleh kata apa-apa. Jadi, pegangan saham itu yang membolehkan pemilik tanah ini memberi cadangan pembangunan dan syarat milik Melayu tidak hilang.

“Melalui situasi itu, segala khabar angin atau tohmahan yang mengatakan saya nak halau orang Melayu keluar daripada Kuala Lumpur adalah tidak benar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang khas pengumuman harga tawaran terbaru tanah di Kampong Bharu di Menara DBKL, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Dalam pada itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH turut menepis dakwaan kononnya beliau mahu menjadi broker dalam pembangunan semula kampung berusia 119 tahun itu.

“Seperkara lagi, baru-baru ini ada satu video yang tular mengatakan saya nak jadi broker (beli tanah dengan harga murah lepas itu nak jual).

“Saya bukan nak jual atau pun nak jadi broker. Mereka itu marah dengan saya sebab mereka tak dapat nak jadi broker. Saya sudah pun mengumumkan secara terbuka mengenai harga pembelian tanah tersebut,” ujarnya lagi.