Malaysia Dateline

Kerajaan tidak patut perketat syarat moratorium, subsidi upah untuk PKS

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menggesa agar kerajaan melanjutkan penangguhan bayaran pinjaman dan subsidi upah yang dianggap penting kepada golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, bantuan bersasar yang telah diumumkan bagi PKS masih lagi bergantung kepada penilaian pihak bank dan permohonan lanjutan moratorium boleh dibatalkan jika tidak menepati kriteria.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu berpendapat, Perikatan Nasional (PN) seolah-olah bersikap lepas tangan dan hanya mengutamakan keuntungan pihak bank.

Walhal katanya, kerajaan sepatutnya boleh mengarahkan pihak bank untuk melanjutkan moratorium pinjaman selama enam bulan kepada semua jenis perniagaan yang memohon, tanpa melalui proses saringan oleh bank.

“Saya menyambut baik keputusan kerajaan pada 23 September lalu untuk melanjutkan permohonan Program Subsidi Upah (PSU) walaupun hanya tiga bulan tambahan sehingga akhir Disember.

“Namun, beberapa kriteria telah diperketatkan untuk PSU kali kedua ini di mana hanya RM600 diberikan untuk setiap pekerja dan dihadkan kepada 200 pekerja sahaja.

“Tidak sepatutnya kriteria pemberian subsidi upah diperketatkan terutama terhadap syarikat yang masih terjejas.

“Ini penting untuk memastikan perniagaan-perniagaan tempatan tidak terdorong untuk memberhentikan pekerja, yang sudah pastinya akan memberikan kesan besar terhadap kuasa beli rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Sebelum ini, subsidi upah telah diberikan sehingga maksimum RM1,200 dan tiada had pekerja.

Potongan cukai

Untuk rekod, laporan RAM Ratings mendedahkan sebanyak 85 peratus responden daripada PKS berskala sederhana dan 69 peratus PKS berskala mikro memerlukan lanjutan moratorium.

Sementara itu, 20 peratus PKS mikro yang mempunyai pendapatan tahunan kurang daripada RM300,000 setahun, telah menyatakan mereka terpaksa gulung tikar jika moratorium tidak dilanjutkan.

Lebih 20 peratus pengusaha pula menyatakan mereka terpaksa mengurangkan saiz perniagaan untuk terus beroperasi.

Laporan itu turut mendedahkan sehingga 79 peratus PKS sederhana masih memerlukan subsidi upah untuk, manakala PKS mikro memerlukan skim pinjaman yang disubsidi.

Justeru, kata Faiz yang juga peguam itu lagi, kerajaan wajar memperkenalkan potongan cukai korporat sementara bagi tahun 2021 hanya bagi syarikat-syarikat yang tidak membuang pekerjanya.

Ini jelasnya, dapat memberi insentif kepada pihak syarikat untuk mengekalkan saiz pekerja ketika ekonomi tidak menentu pada masa ini serta pada masa sama meningkatkan keupayaan merangsang ekonomi.