Malaysia Dateline

Kerajaan tidak perlu rahsiakan nama ahli kartel daging import

Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendedahkan siapa dalang di sebalik kartel daging import yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara.

Beliau berpendapat hal itu perlu dilakukan ketika perhatian tertumpu pada insiden dialami Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang terjatuh selepas tayar hadapan basikal ditunggangnya terperosok dalam lubang.

“Kerajaan pun tidak perlulah rahsiakan lagi nama ahli kartel daging import yang didakwa membawa masuk daging haram itu.

“Perhatian bolehlah ditumpukan kepada menampal dan menurap jalan raya yang berlubang supaya Khairy tidaklah lagi terjerumus dan tercampak ke dalam longkang,” sinisnya.

Kadir yang juga bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri itu berkata, isu kartel daging berlaku ketika orang Melayu Islam begitu sensitif dengan hal berkaitan makanan halal.

“Persoalannya, kalau daging haram yang diimport oleh kartel pun mereka sudah makan (atau termakan) maka tidak ada lagilah benda haram yang orang Melayu-Islam tidak makan.

“Lepas ini nampaknya tidak penting lagilah label halal dan patuh syariah pasal semua benda sudah boleh dibuat dan dimakan,” ujarnya lagi.