Malaysia Dateline

Kerajaan tidak pinggir Kelantan, Terengganu

 Pakatan Harapan tidak meminggirkan Kelantan dan Terengganu dalam Belanjawan 2020 seperti yang didakwa pembangkang.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaan memberi peruntukan royalti minyak kepada Kelantan.

 Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian membidas Barisan Nasional (BN) yang didakwa bersikap tidak adil kepada kedua-dua negeri itu semasa menjadi kerajaan.

“Tak lupa, kita beri juga peruntukan kepada Kelantan. Di zaman dia (BN), Kelantan punya duit daripada Petroleum royalti pun tak bagi, kita (Pakatan Harapan) bagi,” katanya selepas  merasmikan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia (MYMEDEX) 2019 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) seperti dilaporkan MG hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Belanjawan 2020 tidak berpihak kepada Kelantan dan Terengganu, bukti Pakatan Harapan meminggirkan kedua-dua negeri tersebut.

Ini kerana, dakwa Ismail Sabri, kerajaan tidak memberi projek berimpak tinggi di Kelantan dan Terengganu.

Tambah beliau, Kelantan dan Terengganu sepatutnya mendapat peruntukan lebih besar dan projek berimpak tinggi untuk membantu pembangunan negeri-negeri tersebut kerana pendapatan per kapita rakyat amat rendah.

Berkenaan royalti minyak Kelantan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan yang dikatakan dibuat pada bulan September.

Dakwanya Kerajaan Persekutuan hanya membayar wang ehsan dan bukan royalti.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali memberi jaminan pembayaran royalti kepada Kelantan akan dibuat selepas selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Petroleum dan Kerajaan Pusat.

Namun Presiden Royalti, Nazri Deraman berkata, nasib rakyat Kelantan disifatkan sama sahaja seperti era pemerintahan kerajaan BN apabila kerajaan PH sehingga kini gagal melunaskan janji untuk membayar royalti petroleum