Kerajaan  tidak prihatin, pembaziran berlaku punca kemiskinan rakyat

Kerajaan tidak prihatin, pembaziran berlaku punca kemiskinan rakyat

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan kerajaan pimpinannya membazir dan tidak prihatin terhadap kemiskinan dalam kalangan rakyat negeri itu.

Kata beliau, Terengganu sebuah negara yang kaya, mempunyai bajet tahunan yang amat tinggi iaitu RM2.2 bilion dengan populasi rakyat hanya 1.1 juta.

“Kerajaan kaya tetapi rakyat terus miskin kerana kekayaan negeri tidak turun ke bawah untuk mereka yang amat memerlukan bantuan,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Raja Bahrin, MB Terengganu pernah menyifatkan kenyataan beliau berkaitan kajian UNICEF bahawa terdapat 26% anak kecil di bawah usia 5 tahun di Terengganu yang terbantut pembesaran mereka sebagai tuduhan liar.

“Beliau menuduh kenyataan saya adalah tuduhan liar dan berniat untuk memfitnah kerajaan negeri,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Terengganu itu.

Kajian tersebut kata Raja Bahrin dibiayai oleh UNICEF dari Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang amat prihatin ehwal anak-anak kecil dan telah di kendalikan oleh pakar penyelidik tempatan yang pernah berkhidmat dengan Khazanah yang terletak di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

“Razif menyatakan sebab anak-anak tersebut terbantut pembesaran mereka ialah kerana “kelahiran cacat yang merencatkan pertumbuhan fizkal mereka”.

“Mereka yang dilahirkan cacat senang boleh dikenali dan tidak mungkin seramai 26% daripada anak-anak yang dikaji,” kata Raja Bahrin.

Tambahnya, sebab lain menurut Razif ialah “sikap ibu bapa kurang cakna dan mahir memberi makanan kepada anak-anak mereka.”

“Jika “sikap” ibu bapa adalah sebab sebenarnya ia berlaku, ini sepatutnya mudah diatasi dengan penerangan oleh pegawai kerajaan termasuk daripada Kementerian Kesihatan dan juga penyebaran maklumat oleh ketua kampong dan JKK tempatan.

Laporan kajian UNICEF mengenai kemiskinan di Malaysia.

“Kenapakah wang yang banyak dan tenaga kerja yang ada tidak dimanafaatkan bagi tujuan penerangan kesihatan anak-anak kecil?

“Kerajaan telah gagal berbuat demikian,” jelasnya.

Tetapi sebab sebenarnya adalah kerana kadar kemiskinan yang amat tinggi dalam kalangan rakyat Terengganu walaupun kerajaan kaya, katanya.

Ujarnya lagi, pembaziran berbelanja membeli bas amphibia berharga RM3 juta, pembinaan Pusat Bebas Cukai berharga RM320 juta dan Taman Ilmu dengan kos RM350, yang kedua-duanya masih terbengkalai adalah contoh wang disalahgunakan tidak mengikut prioriti keperluan sebenarnya.

“Menteri Besar Terengganu dan kerajaannya tidak prihatin tentang kemiskinan serta apa yang berlaku di keliling mereka.

“Di Kampong Teluk Ketapang kawasan DS Razif, kajian oleh Universiti Malaysia Terengganu mendapati beberapa keluarga di bawah pendapatan RM460 sebulan.

“Dalam kawasan Parlimen Kemaman, iaitu kawasan Menteri Pertanian Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, ada keluarga nelayan di bawah pendapatan RM500 sebulan.

“Inilah contoh contoh kemiskinan yang meluas berlaku di kawasan pemimpin Umno sendiri,” dakwa beliau.

Tambah beliau, kalau melihat bajet negeri Terengganu yang melebihi RM2.2 Billion untuk penduduk 1.1 juta, ini adalah cukup lumayan untuk memastikan rakyat sihat dan sejahtera kalau dibandingkan dengan jiran Kelantan dan Pahang dengan bajet hanya RM700 juta tetapi penduduk yang lebih ramai.

Pengurusan dan urus tadbir Kerajaan Terengganu yang lemahlah yang menyebabkan situasi yang di hadapi oleh rakyat hari ini, katanya.

“Kerajaan hendaklah mengakui serta mengenal pasti masalah sebenarnya kalau masalah ini mahu di tangani. Sikap penafian (denial syndrom), semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah rakyat.

“Hadapilah realiti sebenarnya untuk menyelesaikan penderitaan rakyat,” kata beliau.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS