Malaysia Dateline

Kerajaan tidak serius dan tidak bersedia hadapi bencana besar

Kerajaan Malaysia dilihat sama sekali tidak bersedia dari sudut dasar dan agendanya untuk berhadapan dengan bencana alam yang melanda negara baru-baru ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, ia dapat dibuktikan melalui kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada April lalu yang memandang ringan isu perubahan iklim apabila mendakwa Malaysia bukan tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara.

Menurut Faiz, kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab kerana pada tahun ini sahaja negara dilanda tiga bencana besar antaranya banjir di Yan, Kedah, tanah runtuh di Cameron Highlands dan banjir buruk yang baru berlaku di enam buah negeri.

Beliau juga menyentuh tentang ketidakseriusan kerajaan dalam merangka rancangan-rancangan tebatan banjir yang sebenarnya mampu mengelakkan terjadinya bah lebih besar.

“Kita boleh melihat kerajaan tidak serius dalam merangka rancangan tebatan banjir. Kita tahu banjir boleh berlaku disebabkan oleh masalah aliran di sungai.

“Tapi kita kurang membina tebing-tebing sungai. Kita tidak mengekalkan penjagaan sungai dengan baik. Kita kurang mmbina kolam takungan air yang boleh mengurangkan banjir,” katanya dalam sesi Berani Semuka yang membincangkan tajuk ‘Bencana Alam: Adakah Malaysia Bersedia’, di Facebook Sinar Harian malam tadi.

Selain itu, Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu turut menegur tentang kelemahan dalam kordinasi arahan apabila agensi kerajaan lewat ditugaskan untuk menguruskan bencana.

Beliau merujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang sebelum ini kecoh dibincangkan di media sosial apabila agensi berkenaan didakwa tidak menguruskan bencana alam seperti banjir di peringkat negeri.

“Bila ada satu pemikrian dalam minda pihak Eksekutif yang menganggap perubahan iklam tidak ketara di Malaysia, bagaimana kita mahu mengharapkan kerajaan yang ada hari ini boleh menyusun agenda dan dasar dalam berhadapan dengan bencana?

“Kita perlukan satu tindakan afirmatif dari kerajaan untuk merangka dasar yang tuntas bagaimana hendak berhadapan dengan bencana alam yang berlaku,” ujarnya.