Malaysia Dateline

Kerajaan tidak stabil bergema di Konvensyen AMANAH Johor

Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan telah menyebabkan kesan domino kerajaan PH di beberapa buah negeri.

Perkara itu diucapkan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan dalam ucaptama beliau di Konvensyen Parti Amanah Negara Johor 2020.

Ucapnya, terpahat dalam sejarah negeri Johor, kejatuhan kerajaan PH disebabkan melompat Adun dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara ‘en bloc’ dalam gabungan baharu bersama parti yang kalah dalam PRU 14 bersama seorang Adun PKR.

“Sepertimana kerajaan persekutuan, kerajaan gabungan baharu di Johor mempunyai majoriti terlalu nipis dengan beza dua kerusi. Kerajaan baharu ini adalah kerajaan yang sangat tidak stabil bukan hanya dari segi bilangan majoriti, bahkan gabungan ini terdiri dari mereka yang pernah menjadi seteru ketika PRU 14.

“Kerajaan tidak stabil akan menyebabkan pembangunan negeri dan negara tersangkut-sangkut serta ketidak lancaran sistem penyampaian kepada rakyat jelata.

“Keadaan tidak stabil dimanifestasi apabila persidangan Dewan Negeri (Dun) tidak dapat berjalan dengan baik dengan tempoh perjalanan dewan dihadkan pada tempoh yang tidak munasabah,” ucapnya di konvensyen berkenaan,” ucapnya.

Beliau yang merupakan Adun Parit Yaani berkata perbahasan isu melibat kepentingan awam, khususnya dalam menangani bencana Covid 19 tidak dapat dilaksana dengan baik.

“Di peringkat persekutuan, keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila Perdana Menteri (PM) terpaksa mencadang pada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong (YDPA) agar darurat dilaksanakan atas alasa pengawalan Covid 19 yang lebih berkesan.

“Alhamdulillah, atas kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia YDPA setelah bermusyawarah dengan Majlis DiRaja, cadangan PM telah ditolak.

“Duli Yang Maha Mulia YDPA bersama Majlis DiRaja telah menjadi pengimbang agar kuasa yang berlebihan tidak diberi kepada PM yang boleh menyalahgunakan kuasa tanpa semak dan imbang apabila parlimen digantung,” ucapnya lagi.