Malaysia Dateline

Kerajaan tubuh JK Pengurusan Hutang dan Liabiliti

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Hutang dan Liabiliti selaras dengan pengumuman yang dibuat ketika pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu.

Dalam satu kenyataan, PMO berkata, serentak dengan penubuhan jawatankuasa itu, seramai lima ahli jawatankuasa terdiri daripada pakar bidang kewangan, ekonomi dan undang-undang dilantik.

Mereka ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara, To’ Puan Azian Mohd Aziz; Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid; Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia, Gooi Hoe Soon dan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Faris Rabidin.

Menurut kenyataan itu, pelantikan semua ahli jawatankuasa itu berkuat kuasa serta-merta dengan jawatankuasa itu akan melapor terus kepada Perdana Menteri.

Katanya, objektif utama jawatankuasa itu adalah untuk mengurangkan jumlah hutang dan liabiliti kerajaan ke arah tahap yang lebih terurus dengan jawatankuasa itu diberi masa selama 18 bulan untuk mencapai objektif berkenaan.