Kerajaan tubuh pasukan khas tangani isu nelayan asing

Kerajaan tubuh pasukan khas tangani isu nelayan asing
(DARI KIRI) datuk Salahuddin Ayub, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Liew Chin Tong pada sidang menia hari ini.

Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan pasukan khas yang diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pencerobohan nelayan asing telah menjejaskan pendapatan nelayan tempatan terutama dikawasan pantai timur lebih-lebih lagi di musim mencandat sotong.

Katanya, agensi terlibat yang akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan penangkapan merangkumi jabatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) , Jabatan Perikanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Imegresen, Suruhanjaya Pencegaham Rasuah Malaysia (SPRM) dan KDN sendiri.

“Jadi mereka akan mengatur operasi khas dalam tempoh segera dan diharapkan tindakan ini akan mengelakkan dari terus berlakunya pencerobohan di perairan Malaysia.

“Kes pencerobohan nelayan asing ini bukan kes baru tapi mutakhir ini kes tersebut meningkat mengikut musim. Sekarang musim mencandat sotong dan nelayan-nelayan ini menceroboh tanpa mengendahkan undang-undang antarabangsa.

“Sebelum ini LKIM membuat beberapa tangkapan dan mensita bot, malah ada kes yang sedang menunggu untuk dibicarakan,”katanya ketika sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa gerakan bersepadu di antara agensi yang terlibat adalah untuk membanteras kes pencerobohan bot asing ke kawasan perairan negara, malah kerajaan akan menggerakkan tenaga manusia dengan lebih efisyen untuk menangkap nelayan yang terus melakukan pencerobohan.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata penubuhan pasukan khas tersebut telah dibincang dalam meayuarat kabinet setelah menerima aduan dari nelayan tempatan khususnya di kawasan perairan pantai timur yang berhadapan ancaman bot asing dari Vietnam.

Beliau memaklumkan bahawa kes tangkapan vesel nelayan asing mencapai 51 tangkapan dimana APMM mencatat 41 tangkapan sehingga April tahun ini.

Katanya, negara kerugian 6 bilion hasil laut setahun akibat pencerobohan yang berlaku.

“Oleh itu, saya anggap apabila perkara ini menjadi satu ancaman besar kepada nelayan dan keselamatan negara, maka kabinet lah paling sesuai untuk membincang isu ini.

“Kami diperingkat MOA tak pernah beri lesen atau permit kepada pihak asing. Ini rupakan satu penyelewengan, secara official kami tak pernah bagi lesen untuk bot asing beroperasi

“Oktober 2018, saya juga telah hadiri mesyuarat dan sesi bilateral dengan Kementerian Vietnam. Saya telah bangkitkan isu pencerobohan ini dan melalui perbincangan diplomatik, kita minta supaya mereka dapat tangani perkara ini dengan baik,” ujarnya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, kementeriannya menyokong dan akan membantu pasukan khas yang ditubuhkan supaya dapat menyelesaikan secara menyeluruh isu pencerobohan nelayan dalam negara.