Malaysia Dateline

Kerajaan tukar kereta menteri dari Perdana ke Vellfire

Kerajaan telah memulakan proses penggantian kereta rasmi jawatan bagi Menteri-Menteri Persekutuan daripada model Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L bermula April lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kerajaan membayar kos pajakan bulanan Toyota Vellfire 2.5L sebanyak RM5,759.35.

“Kos pajakan bulanan ini terdiri dari kos sewaan bulanan sebanyak RM4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan RM907.74.

“Sehingga September 2021, kerajaan telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada syarikat konsesi,” katanya dalam satu kenyataan bertulis bertarikh 2 November.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta menteri kewangan menyatakan perbelanjaan kerajaan menyediakan kereta rasmi Velfire kepada Menteri-menteri.

Beliau juga bertanya berapa jumlah perbelanjaan sewaan sebuah kereta Vellfire daripada syarikat konsesi Spanco sebulan.