Kerajaan tumpu proses pemulihan negara untuk manfaat masa hadapan

Kerajaan tumpu proses pemulihan negara untuk manfaat masa hadapan

Apabila kerajaan Pakatan Harapan berjaya melaksanakan pemulihan ke atas negara ini, yang menjadi keutamaan nombor satu, pembaharuan itu kelak hendaklah memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, institusi dan struktur yang dikendalikan oleh kerajaan akan membawa negara ini menuju pemulihan dan kerajaan akan menguruskan Malaysia bagi pihak semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk kumpulan elit tertentu.

“Faedah berkenaan perlu dikongsi secara sama rata untuk semua rakyat Malaysia untuk membesar dan memenuhi potensi sepenuh mereka. Tahun 2019 dan seterusnya hendaklah menjadi tahun pemulihan untuk ramai dan bukan segelintir. Keterangkuman adalah kewajaran kerajaan ini dan kita serius untuk menyerahkannya kembali kepada semua rakyat Malaysia,” katanya pada jamuan malam diaspora rakyat Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini malam Khamis.

Timbalan Perdana Menteri, yang dalam lawatan rasmi ke United Kingdom sejak Rabu, berkata rakyat Malaysia di luar negara bukan sahaja mempunyai peranan untuk mewujudkan imej baik tetapi juga mempunyai peranan penting dalam membina semula Malaysia memandangkan masa hadapan negara ini bergantung kepada rakyat dan pilihan yang mereka buat.

“Ia menjadi urusan anda untuk laksanakan pemulihan terhadap peraturan undang-undang, kerajaan yang baik, integriti dan kecekapan bahagian pentadbiran. Ia tanggungjawab anda untuk membantu bagi perlindungan hak asasi manusia. Ini adalah tempat anda untuk suarakan pendapat dan menuntut kepada kualiti kehidupan yang lebih baik, alam sekitar, bandaraya dan peluang bagi semua rakyat Malaysia. Jadikanlah diri anda hero bagi sejarah Malaysia untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.

— BERNAMA