Kerajaan tutup subahat kekejaman perang dalam dan luar parlimen?

Kerajaan tutup subahat kekejaman perang dalam dan luar parlimen?

Saya membaca dengan hairan putar belit fakta serta pembohongan kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia tentang penglibatan Malaysia dalam serangan ke atas negara Yaman dan perbuatan bersekongkol dengan Arab Saudi serta sekutu barat mereka

Alasan bahawa anggota tentera Malaysia berada di Arab Saudi untuk bersedia memindahkan rakyat kita tidak masuk akal kerana satu operasi pemindahan pelajar dan rakyat kita telah dilakukan lebih setahun dahulu. Lagi pun jika situasi di Yaman yang telah belarutan begitu lama dianggap berbahaya arahan rasmi patut dikeluarkan untuk rakyat dibawa pulang dan kerajaan tidak lagi bertangungjawab atas keselamatan mereka. Tidak ada negara lain pun yang mempunyai pelajar dan rakyat di Yaman meletakan tentera mereka di Arab Saudi dengan belanja yang begitu besar. Berapa buruk lagi kita hendak menunggu situasi di Yaman sebelum hendak bertindak bawa rakyat keluar dengan laporan badan antarabangsa menyebut 18 juta rakyat dewasa dan 2.1 juta anak kecil menghadapi kebuluran di Yaman.

Alasan tentera kita masih di sana kerana latihan tentera “Northern Thunder” di Arab Saudi yang berakhir pada Februari 2016 juga tidak masuk akal. Dua puluh negara Arab, Afrika dan serantau yang mengambil bahagian telah lama pulang setahun dahulu jadi mengapa kita masih di sana? Soal mengapa Malaysia yang jauh terpisah dari negara anggota lain dari Arab dan Afrika telah lama saya persoalkan. Indonesia negara dengan rakyat umat Islam teramai pun tidak mengambil bahagian.

Saya percaya Kerajaan tidak bercakap benar tentang sebab utama anggota tentera Malaysia berada di Arab Saudi dan saya juga percaya Malaysia terlibat dalam serangan Arab Saudi keatas Yaman bersama sekutunya dari Amerika.

Kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia yang disiarkan oleh NST pada 4 Mac bahawa tuduhan di atas “tidak benar, berniat jahat, tidak berasas dan dengan niat tidak baik untuk memburukan nama Kementerian Pertahanan, angkatan Tentera dan Malaysia” adalah cubaan terdesak untuk menafikan situasi yang tidak boleh diselindungi lagi.
Saya di sini menyoal kenapa pihak Kementerian Pertahanan tidak mengambil tindakan ke atas semua pihak, termasuk badan Antarabangsa, yang dikatakan berniat jahat dengan tuduhan tersebut jika ia semua tidak benar? Saya menanti jawapan Menteri Pertahanan. Kami menimbulkan isu ini kerana tidak bersetuju dengan kekejaman pembunuhan begitu ramai rakyat awam Yaman yang tidak berdosa yang dilapurkan merupakan perbuatan “jenayah perang”. Ianya juga membahayakan nyawa rakyat Malaysia yang masih di rantau tersebut.

Adakah Kerajaan berhasrat akan mengambil tindakkan undang undang ke atas semua pihak yang dituduh memburukkan nama Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan Malaysia ?

 

COMMENTS

Wordpress (0)