Malaysia Dateline

Theresa May

Kerajaan UK selamat undi tidak percaya dengan margin kecil

Perdana Menteri Britain, Theresa May, terselamat daripada undi tidak percaya di Dewan Rakyat dan berjaya mengelak daripada risiko mengadakan pilihan raya umum awal, lapor agensi berita Xinhua.

Usul undi tidak percaya itu dibentangkan pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn yang menjadi parti pembangkang utama.

Selepas undian dijalankan, sebanyak 306 menyokong usul itu manakala 325 lagi menentang. Ia bermakna kerajaan terselamat dengan hanya 19 undi.

Kejayaan itu juga membolehkan May menyambung usaha mendapatkan sokongan parlimen bagi meneruskan urusan Brexit untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) pada lewat tahun ini.

May akan kembali ke dewan pada Isnin untuk membentangkan kepada anggota parlimen alternatif pelan Brexit dengan harapan ia boleh diterima selepas parlimen menolak pelan asal pada Selasa dengan margin besar, 432 undi berbanding hanya 202 menyokong.

Ketika sesi perbahasan usul undi tidak percaya selama hampir enam jam, Corbyn memberitahu May bahawa jika kerajaan gagal mendapat kelulusan parlimen, mereka perlu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Usul berkenaan disokong parti pembangkang di Westminster, kecuali Parti Kesatuan Demokrat (DUP) yang menyokong May.

“Perdana menteri sudah hilang kawalan dan kerajaan hilang kemampuan untuk mentadbir,” kata Corbyn sambil menggelar May sebagai ketua ‘kerajaan zombie’.

Corbyn berkata, semua perdana menteri sebelum ini sudah pun meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya umum apabila berdepan keadaan sama.

Dalam ucapannya, May berkata, pilihan raya umum adalah perkara paling buruk buat Britain.

“Ia akan melebarkan lagi perpecahan sewaktu kita amat memerlukan perpaduan, ia memacu ke arah huru-hara dikala kita mahukan ketentuan, dan ia akan melengahkan ketika kita perlu segera mara ke depan.

“Pada detik genting dalam sejarah negara ini, pilihan raya umum bukan pilihan terbaik,” katanya.

“Kita menempuh detik amat bersejarah dalam lipatan sejarah negara. Selepas pungutan suara yang menyaksikan negara kita terbahagi dua, kita amat perlu kembali menyatukannya.”

— BERNAMA