Malaysia Dateline

Hasil negara dijangka jatuh, dari mana kerajaan dapat wang untuk belanjawan terlalu besar?

Belanjawan 2023 diselar sebagai belanjawan paling gagal kerana memperuntukkan perbelanjaan paling tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM372.3 bilion walaupun hasil kerajaan diunjurkan jatuh tahun hadapan. (Belanjawan 2023 meningkat RM40.2 bilion berbanding tahun 2022).

Penyandang kerusi Permatang Pasir, Faiz Fadzil mempersoal, dari mana kerajaan mendapatkan sumber hasil kerajaan, sama ada menggunakan pinjaman luar negara atau GST.

Ini kerana beliau melihat, daripada RM95 bilion yang diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan, tidak ada satu pun projek mega baharu diumumkan.

Ini bermaksud, tiada projek yang mempunyai kesan pengganda (multiplier effect) yang tinggi yang mampu merangsang ekonomi di bawah terutama perusahaan kecil sederhana (IKS). Yang ada hanyalah projek lanjutan sahaja.

Selain itu kata Faiz yang juga Pengerusi Biro Pengguna Tani dan Luar Bandar AMANAH, Belanjawan 2023 dilihat seperti tiada usaha konkrit untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup, khususnya berkaitan inflasi makanan.

“Bukan sahaja subsidi telah dipotong lebih RM22 bilion, peruntukan bantuan BKM kepada keluarga miskin juga dikurangkan kepada RM7.8 bilion daripada RM8.2 bilion.

“Bilangan penerima untuk tahun 2023 juga berkurang kepada 8.7 juta individu.

“Oleh kerana dianggarkan lebih 600,000 isi rumah M40 telah tergelincir ke dalam golongan B40, maka penurunan ini akan menyebabkan lebih ramai rakyat yang akan sengsara pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz juga mengkritik bahawa belanjawan kali ini, langsung tidak menyentuh mengenai kemerosotan ringgit dan impak terhadap inflasi, serta usaha mengurangkan impak ini.

Pada masa sama, beliau mendakwa bahawa sektor pertanian dan agromakanan juga tidak menerima perhatian yang secukupnya dalam belanjawan ini.

Untuk rekod, peruntukan perbelanjaan pembangunan untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hanya dinaikkan 0.12 peratus ke RM1.54 bilion.

“Apakah reformasi pertanian yang boleh dilakukan jika tiada perbelanjaan yang secukupnya?

“Hasilnya, sektor pertanian akan kekal di takuk lama dan poket penduduk luar bandar tidak mampu dikembangkan,” katanya lagi.

Baca juga: Titah Agong susulan pembubaran Parlimen oleh PM ‘sangat makan dalam senak rusuk kena tumbuk’

Baca juga: Peniaga kedekut, jual sandwich RM4 tapi boleh kira inti telurnya