Malaysia Dateline

Kerajaan umum PKPD di empat daerah di Sabah

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna berkuatkuasa tengah malam ini

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan Covid-19 di empat daerah tersebut dalam tempoh 1 hingga 27 September 2020.

Daripada jumlah itu menurut Ismail, Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).

“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan-kawasan ini.

“PKPDB secara pentadbiran ini akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini, 29 September 2020 sehingga 12 Oktober 2020 dan akan melibatkan seramai 962,661 orang penduduk.

“Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Sementara itu, Ismail mengingatkan semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Tambahnya, mereka yang bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Semua aktiviti perniagaan juga akan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan (essentials) di empat daerah terlibat.

“Pengkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPDB. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPDB ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat,” katanya lagi.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas Ibu Pejabat Polis Daerah seperti berikut :
Lahad Datu : 089-881255
Tawau : 089-752222
Kunak : 089-851222
Semporna : 089-782020