Malaysia Dateline

Kerajaan wajar bersikap terbuka terhadap whistleblower

Sebarang kenyataan yang berbaur amaran atau gertakan terhadap pemberi maklumat dari petugas barisan hadapan, sama sekali tidak membantu usaha mengekang ketirisan dalam pelaksanaan program vaksinasi, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir.

Beliau berkata, larangan terhadap petugas kesihatan untuk membuat penyataan awam tanpa kebenaran, dilihat sebagai usaha menyekat rakyat daripada mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurutnya, walaupun dinyatakan bahawa arahan itu bukanlah bertujuan menyekat mana-mana pegawai untuk bersuara, namun ia akan menimbulkan kegusaran dan memberi tekanan kepada pemberi maklumat.

“Apabila terdapat petugas kesihatan memilih untuk membuat kenyataan umum disertai lampiran bukti tanpa mendedahkan identiti mereka, ini merupakan satu isyarat bahawa mereka tidak yakin terhadap keberkesanan kerajaan dalam melindungi identiti mereka yang membuat pendedahan.

“Oleh itu, kerajaan digesa mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif terhadap whistleblower serta proaktif dalam melindungi identiti mereka yang juga merupakan petugas barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Akmal juga menegaskan, teguran petugas kesihatan perlu diberi perhatian dan disusuli dengan siasatan yang adil kerana ia merupakan satu penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah memberikan komitmen baik selama ini.

Jelasnya, sebagai petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus lebih setahun bagi mengekang penularan wabak ini, sudah pasti mereka lebih sensitif terhadap sebarang tindakan yang bertentangan dengan nilai dan etika.