Malaysia Dateline

Kerajaan wajib bantu majikan swasta, beri moratorium LPPSA penjawat awam

Ramai dalam kalangan majikan di Malaysia tidak menerima apa-apa kesan yang besar terhadap pengumuman Perdana Menteri. Pemberian moratorium Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada kakitangan kerajaan juga tidak diumumkan.

Kedua-dua ini sangat penting demi menjamin kelangsungan kehidupan dan daya tahan pendapatan.

Dimaklumi bahawa, majikan-majikan dan usahawan ramai sangat terkesan apabila tidak dapat meneruskan perniagaan akibat daripada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ya, arahan PKP ini penting untuk kita semua memutuskan rantaian penyakit dan penularan Covid-19. Walaupun begitu, apabila tiada perniagaan yang boleh dijalankan, maka tiadalah juga sebarang pendapatan oleh usahawan usahawan ini.

Bantuan kepada majikan amat penting kerana majikan yang akan berusaha untuk mengekalkan pekerjaan kepada Pekerja pekerja, untuk mereka terus mempunyai pendapatan.

Namun, tidak semua majikan mampu mengekalkan penggajian kepada para pekerja mereka secara penuh untuk tempoh lebih daripada dua bulan.

Ini kerana ramai pengusaha perniagaan, baik dari bidang guaman, trading, pendidikan, pelancongan, perhotelan, dan lain lain, merupakan usahawan kecil yang hanya punya pusingan keuntungan yang kecil saban bulan.

Sebelum ini ramai majikan “survive” dengan pusingan keuntungan kecil ini untuk dikongsikan bersama dengan pekerja-pekerja mereka antara 5 hingga 20 orang.

Majikan-majikan inilah antara pembayar LHDN kepada kerajaan dan juga membuat potongan KWSP pekerja pekerja mereka. Mereka berkongsi rezeki yang sedikit demi menjamin kelancaran operasi perniagaan mereka.

Apabila PKP ini berlangsung, ramai antara majikan dalam kategori seperti ini terkesan dan sudah berkira-kira untuk terpaksa mengurangkan lagi beban tanggungan mereka memandangkan tiada bisnes yang boleh berjalan.

Sebagai contoh, Haji Ali, buat perniagaan perkhidmatan guaman syarie. Staf Haji Ali ada lapan orang. Akibat PKP, semua kes ditangguhkan. Mahkamah ditutup. Kes-kes baru tidak dapat difailkan.

Apabila kes tidak berjalan, tiada payment yang boleh diminta. Kes-kes baru juga tidak boleh dibuka. Maka, tiada pendapatan dalam tempoh itu.

Walau bagaimanapun gaji pekerja pekerja wajib dibayar. Melalui pengumuman Perdana Menteri, staf Haji Ali, masih dapat gaji yang perlu dibayar oleh Haji Ali, dan juga bantuan “one shot” dari kerajaan. Moratarium bayaran pinjaman rumah kereta, bayaran api TNB, internet percuma dapat dinikmati.

Tetapi Haji Ali, masih wajib bayar sewa pejabat, bayar gaji pekerja-pekerjanya, bayaran utiliti pejabat, walaupun tiada sebarang urusan perniagaan beliau dapat dibuat.

Haji Ali hanya ada simpanan untuk bertahan bayar gaji pekerja selama sebulan sahaja kerana firma Haji Ali masih bersaiz kecil. Tiada kes, tiada pendapatan. Mahkamah tutup, tiada kes baru boleh difailkan.

Haji Ali hanya mampu untuk terus survive mempertahankan firma yang dibuka dengan mengurangkn beban penggajian. Apabila tepaksa mengambil jalan downsize pekerja, pekerja-pekerja tadi tiada lagi pendapatan.

Maka, kerajaan wajib melihat akan perihal ini, secara lebih fokus dan real, dan bantuan wajib diusahakan untuk majikan.

Majikan-majikan inilah sebenarnya penyumbang terbesar kepada pendapatan pekerja-pekerja mereka melalui perniagaan mereka.

Moratorium LPPSA kepada kakitangan kerajaan

Tidak semua kakitangan kerajaan mampu untuk terus survive sekiranya mereka tidak dalam situasi dibawah:

a) kedua-dua suami isteri kerja kerajaan;
b) suami bekerja kerajaan isteri bekerja swasta/sendiri.

Potongan LPPSA kepada mereka dalam tempoh enam bulan juga adalah wajar. Ini kerana dalam tempoh PKP ini, kita semua tahu, anak-anak semua berada di rumah. Kebanyakan peruntukan makan sebuah keluarga sudah lari dari bajet asal.

Kebanyakan kakitangan awam ini mengambil pinjaman LPPSA, dan mereka tidak menikmati moratarium yang telah diumumkan oleh Bank Negara Malaysia. Malah, mereka juga tidak boleh keluarkan KWSP kerana mengambil skim pencen.

Waktu sebegini di rumah, anak-anak dan seisi keluarga makan banyak. Mereka terpaksa mencatu makanan. Bajet lari. Malah, lebih teruk mereka tiada simpanan yang dapat dibuat untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi pada masa ini.

Simpanan tunai amat penting ketika ini bukan hanya mengharapkan bantuan RM500 dari kerajaan.

Cuba bayangkan kakitangan kerajaan yang hanya ada pinjaman LPPSA dan tiada pinjaman dengan mana-mana bank, teruk bagi mereka, mereka hanya berharap duit bantuan RM500 itu sahaja. KWSP pun tak dapat pelepasan disebabkan skim pencen.

Cadangan kepada Kerajaan

Dalam masa masa genting ini, banyak nasib keluarga dan rakyat sangat bergantung kepada keputusan dan polisi kerajaan.

Kerajaan wajar bantu para majikan perniagaan kecil swasta, kerana nasib perniagaan mereka yang juga terpaksa ditutup dalam PKP ini, di hujung tanduk.

Tiada pendapatan, perniagaan tidak boleh bertahan lama. Jika tak dapat bertahan, majikan terpaksa tutup kedai, atau cari jalan kurangkan kos belanja kedai.

Jika jalan itu terpaksa diambil, kerana majikan juga ada liabiliti, tanggungan dan keluarga yang perlu dijaga, jalan pahit yang diambil mereka akan menyebabkan keluarga keluarga pekerja mereka pula kurang pendapatan.

Tidak banyak, jika sedikit misalnya, diberi sedikit kelongggaran kepada majikan untuk terus bertahan, dan terus boleh bantu pekerja-pekerja mereka.

Bantu juga kakitangan kerajaan dengan MORATARIUM pinjaman LPPSA. Dengan sedikit pelepasan, nilai tunai mereka bertambah dan boleh membantu mereka juga bertahan.

Kita semua berdoa agar Allah S.W.T mengangkat virus Covid-19 ini, dan dipertemukan syifa kepada penyakit ini dengan segera. Moga Allah bantu Malaysia, kita wajib bersama menang dalam “peperangan” ini.

Demi Negara dan Rakyat Malaysia.

* Penulis ialah Pengarah Biro Hal Ehwal NGO & Hubungan Luar, Pemuda AMANAH Nasional.