Malaysia Dateline

Kerajaan yakin capai 20 peratus RE dalam masa tujuh tahun akan datang

Kerajaan yakin mencapai sasaran 20 peratus janaan elektrik daripada sumber tenaga diperbaharui (RE), bersamaan 3,991 megawatt (MW), dalam masa tujuh tahun akan datang melalui pelbagai inisiatif, program dan dasar.

Bagi merealisasilkan sasaran ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata kerajaan akan berhubung dengan pemain industri dan mengkaji dasar yang berkaitan.

Walaupun janaan tenaga bersih negara ini hanyalah dua peratus pada masa ini, sasaran boleh dicapai melalui pelaksanaan pelbagai program, termasuk pemeteran tenaga bersih, tarif galakan (feed-in-tariff) (FiT) dan program solar berskala besar, katanya.

Yeo berkata demikian dalam ucaptamanya di Forum Tenaga ke-8, yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Tenaga (EC), Persatuan Gas Malaysia (MGA) dan Majlis Tenaga Malaysia, di sini, hari ini.

Katanya, komitmen dan sokongan syarikat tempatan dan antarabangsa dalam menyahut cabaran untuk bekerja dengan kerajaan penting bagi membangunkan lagi sektor RE serta gas asli, dan menambah bahawa, kerajaan juga berhasrat menyediakan sokongan yang sepatutnya melalui dasar keberkesanan tenaga.

Untuk itu, kata Yeo, deraf pertama Akta Keberkesanan Tenaga dan Pemuliharaan dijangka dibentangkan ke Parlimen tahun depan.

“Tenaga adalah sesuatu yang rakyat Malaysia memandang mudah terhadapnya, melihat kepada sumber semula jadi yang banyak dan bekalan elektrik yang kukuh.

“Malaysia akan dapat menjimatkan sehingga RM46.9 bilion perbelanjaan tenaga antara 2016 dan 2030, sekiranya semua inisiatif keberkesanan tenaga dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara,” tambahnya.

— BERNAMA