Malaysia Dateline

Kerajaan Yaman tuduh pemberontak curi penghantaran bantuan

Kerajaan Yaman pada Selasa telah menuduh pemberontak Houthi mencuri beratus-ratus penghantaran bantuan semasa konflik negara itu yang berlanjutan selama tiga tahun, lapor agensi berita rasmi Turki Anadolu.

“Lebih 88 penghantaran telah dihalang oleh pemberontak Houthi daripada berlabuh di Pelabuhan Al-Hudaydah dari Mei 2015 sehingga Disember 2018,” menurut kenyataan Jawatankuasa Bantuan Agung kerajaan.

Kenyataan itu menyebut pemberontak Houthi turut menembak beberapa kapal komersial, termasuk yang membawa bantuan kemanusiaan.

“Pemberontak Houthi turut merampas sejumlah 697 penghantaran bantuan dalam tempoh itu,” menurut jawatankuasa itu.

Kumpulan pemberontak bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengulas dakwaan kerajaan itu.

Pada Isnin, Program Makanan Sedunia (WFP) turut menuduh puak Houthi mencuri penghantaran bantuan kepada penduduk awam Yaman.

“Perlakuan ini terjumlah kepada mencuri makanan daripada mulut orang yang sedang kelaparan,” kata Pengarah Eksekutif WFP David Beasley dalam satu kenyataan.

“Pada ketika kanak-kanak di Yaman meninggal dunia kerana mereka tidak mempunyai makanan yang mencukupi, perbuatan ini adalah keterlaluan,” katanya.

“Perlakuan jenayah seperti ini perlu dihentikan.”

Puak Houthis telah menafikan dakwaan WFP itu, dan berkata mereka “terkejut” dengan tuduhan tersebut.

Yaman terjerumus dalam kancah perang saudara pada 2014 apabila pemberontak Houthi menguasai kebanyakan kawasan di negara itu, termasuk ibu negara Sanaa, yang memaksa pihak kerajaan menubuhkan ibu negara sementara di bandar pesisir Aden.

Setahun kemudian, beberapa negara Arab melancarkan satu kempen serangan udara besar-besaran di Yaman yang bertujuan mengurangkan kawasan yang dikuasai pejuang Houthi.

Kempen itu telah memusnahkan infrastruktur asas Yaman, termasuk sistem sanitasi dan kesihatan, yang mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan situasi tersebut sebagai “antara bencara kemanusiaan paling buruk pada zaman moden.”