Malaysia Dateline

‘Kerajaan yang efisien tidak perlu darurat’

Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid menegaskan tiada keperluan untuk sebuah kerajaan yang berkesan melaksanakan darurat dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Menurut bekas Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) itu, tiada kaitan secara timbal balik antara darurat dengan berdepan gelombang keempat penularan pandemik.

“Kerajaan yang efisien dalam menangani krisis (Covid-19) tidak perlu darurat. Hampir seluruh negara di dunia tidak melakukan darurat dan menggantung Parlimen untuk menangani Covid-19,” tegasnya.

Dr Muhammed berkata demikian dalam sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ anjuran Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat di Hotel Tamu, Kuala Lumpur hari ini.

Dua lagi ahli ekonomi turut menyertai sidang media tersebut iaitu Prof Jomo Kwame Sundaram dan Nungsari Ahmad Radhi.

Ia dipengerusikan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional selaku pengerusi jawatakuasa berkenaan.

Dr Muhammed Abdul Khalid

Ditanya sejauhmana gelombang keempat Covid-19 akan mempengaruhi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Dr Muhammed berkata, tanda aras pengukuran saiz dan kadar pertumbuhan ekonomi itu hanya angka.

Beliau berpendapat paling penting diberi penekanan ialah merapatkan jurang pendapatan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

“Adakah pertumbuhan KDNK mengurangkan jurang antara kaya dan miskin? Itu bagi saya yang lebih penting.

“Sebabnya, walaupun ada perkembangan ekonomi tidak semestinya peluang pekerja wujud selanjutnya mengurangkan kemiskinan.

“Sebagai contoh, antara 2016 hingga 2019, tidak ada Covid-19, ekonomi berkembang tetapi kadar kemiskinan relatif di Malaysia naik. Jurang kaya dan miskin naik.

“Pengangguran dalam kalangan graduan universiti juga tinggi. Yang penting adalah pertumbuhan ekonomi yang terangkum, inklusif dan lestari yang memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya lagi.