Malaysia Dateline

#KerajaanGagal: AS meningkatkan tahap amaran

Kenyataan #KerajaanGagal6 saya hari ini menyentuh mengenai isu di mana AS meningkatkan tahap amaran, tidak menggalakkan lawatan ke Malaysia kerana “risiko tinggi” Covid-19, sementara Vietnam, Thailand, China, dan Taiwan berada dalam kategori “risiko rendah” manakala Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, Jepun, dan Kemboja berada dalam kategori “risiko sederhana”.

Amerika Syarikat meletakkan Malaysia di “paras keempat” dengan risiko Covid yang “sangat tinggi” — bersama-sama Indonesia dan Filipina, dan juga Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah yang mengambil tujuh dari 10 tempat di carta negara teratas di dunia dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi.

Sangat ironi, Amerika Syarikat, melalui Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC), mengingatkan rakyatnya agar tidak melakukan perjalanan ke Malaysia.

Malaysia, dengan rekod 384,688 kes, seharusnya memberi amaran kepada rakyatnya agar tidak mengunjungi Amerika Syarikat yang mendahului dunia sebagai negara dengan jumlah kes Covid-19 yang tertinggi dengan 32.6 juta kes dan 584,004 kematian.

Tambahan pula, peningkatan harian kes Covid-19 di Amerika Syarikat masih berada pada tahap yang sangat tinggi iaitu 51,737 kes (walaupun tidak seburuk India yang mencatatkan peningkatan kes sebanyak 332,503 semalam), berbanding dengan 2,874 kes di Malaysia semalam, walaupun pada satu masa, peningkatan harian kes Covid-19 di Amerika Syarikat adalah setinggi 307,583 kes pada 8 Januari tahun ini!

Namun, Malaysia tidak harus berbangga berada di kedudukan ke-44 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kes Covid-19 yang tertinggi, ketika Myanmar berada di kedudukan ke-82, Korea Selatan (86), China (95), Singapura (102), Thailand (105), Hong Kong (144), Kemboja (155), Vietnam (177) dan Taiwan (192).

2,874 kes baharu Covid-19 yang dicatatkan semalam adalah hari kelapan berturut-turut Malaysia mencatatkan kes positif wabak itu dengan lebih 2,000 kes, merapatkan jurang bagi Malaysia untuk mengatasi Bulgaria yang berada di tangga ke-43 dunia.

Jelas bahawa pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen yang kononnya untuk memerangi pandemik Covid-19 adalah sebuah kegagalan yang luar biasa.

Sebenarnya, boleh disimpulkan bahawa keadaan darurat dan penggantungan Parlimen adalah penyebab berlakunya keadaan sekarang di mana Malaysia mungkin dilanda gelombang Covid keempat sebelum kita dapat mengawal gelombang ketiga Covid yang merupakan mungkin gelombang yang paling lama dunia.

Malah, boleh juga disimpulkan bahawa sekiranya kerajaan Pakatan Harapan tidak digulingkan oleh konspirasi Langkah Sheraton selepas 22 bulan mentadbir di Putrajaya, yang seterusnya menyaksikan pembentukan kerajaan pintu belakang, tidak kompeten, tidak demokratik dan tidak sah, Malaysia mungkin akan terhindar daripada gelombang kedua dan ketiga pandemik Covid-19.

Justeru itu, adalah pelik apabila Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, semalam berkata bahawa pengisytiharan darurat telah memungkinkan kerajaan untuk menangani situasi Covid-19 di negara ini dengan lebih baik, selain menambah, tanpa keadaan darurat, “kita tidak akan dapat mengurangkan kes Covid-19 secepat mungkin ”.

Terbayang di fikiran, entah menteri kanan mana yang boleh menjelaskan peningkatan kes harian Covid-19 yang melepasi angka 2,000 selama enam hari berturut-turut ini sebagai satu usaha “mengurangkan kes Covid-19 secepat mungkin”!

Kita telah menjalani separuh daripada tempoh darurat yang dikuatkuasakan pada 12 Januari lalu, dan dengan kegagalan sejauh ini untuk membendung wabak Covid-19, akan ada suara-suara yang menyeru agar darurat yang akan tamat pada bulan Ogos dilanjutkan dengan alasan situasi pandemik Covid-19 yang semakin memburuk.

Adakah Kabinet akhirnya akan menumpukan pada keperluan untuk membentuk strategi dan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam usaha memerangi Covid-19 untuk membolehkan Malaysia mempelajari teknik baru untuk hidup dengan virus, kerana dijangakan bahawa pandemik Covid-19 ini akan terus menghantui kita selama bertahun-tahun, dengan menamatkan darurat dan memulakan semula sidang Parlimen?

Atau adakah darurat akan dilanjutkan selepas bulan Ogos hingga tahun depan dan lebih lama lagi dengan alasan keadaan Covid-19 yang semakin memburuk, sehingga Perikatan Nasional (PN) dapat memperkukuhkan kerajaan pintu belakangnya dan melindungi kakistokrat?
—————-
Tulisan ini adalah berdasarkan kenyataan media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 23 April 2021.