Malaysia Dateline

Kerajaan PH akan gandakan usaha tunai janji pilihan raya, kata Mahathir

Kerajaan Pakatan Harapan akan menggandakan usaha mereka dalam menyempurnakan janji-janji yang dibuat terutamanya berkaitan janji pilihan raya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apabila sebuah kerajaan mengalami ketidakpercayaan, ia akan ditolak dan rakyat akhirnya akan melakukan apa sahaja untuk menyingkirkannya.

“Adalah amat penting sekali bagi kerajaan dipercayai rakyat dan memenuhi janji-janjinya.

“Bila adanya kegagalan mendapatkan kepercayaan rakyat, kerajaan yang paling kuat sekalipun akan tumbang. Dan kerajaan sekarang amat menyedari hal ini, memang janji-janji telah dibuat sebelum kita mendapat kuasa,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Siri Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad Institiut Pengurusan Malaysia (MIM) malam tadi.

Beliau berkata Pakatan Harapan, ketika itu, masih sebagai pembangkang, membuat janji dengan jangkaan mereka akan kalah.

“Janji-janji itu adalah untuk kerajaan yang berkuasa, jadi jika mereka menang mereka akan mendapati janji itu sukar untuk dipenuhi.

“Nasib baik atau tidak bernasib baik kami menang dan kini kami perlu menggandakan usaha kami untuk memenuhinya. Tentu sekali kadang kala janji itu sukar untuk dipenuhi tetapi sama ada sukar atau tidak seseorang itu mestilah menunjukkan ia cuba melakukan yang terbaik untuk memenuhinya.

“Sesebuah kerajaan hanya boleh terus diberi kuasa jika ia boleh dipercayai, kita mesti penuhi apa yang telah kita janjikan,” kata beliau.