Malaysia Dateline

Kerana anak Rafizi sanggup tanggung risiko

Walaupun mengakui kadang kala dilanda perasaan marah, bosan dan kecewa kerana merasakan usahanya sebagai wakil rakyat tidak berbaloi ekoran risiko yang terpaksa ditanggung, anak menjadi sumber kekuatan kepada ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli untuk mengharungi cabaran sebagai ‘whistle blower’.

Meluahkan perasaannya dalam catatan di facebook, Rafizi berkata, beliau akan menjadi seorang yang ‘kufur nikmat’ jika tidak menabur bakti kepada orang ramai yang tidak bernasib baik seperti beliau.

“Saya di mahkamah sepanjang minggu lepas, minggu ini dan minggu depan untuk beberapa kes bersabit skandal NFC dan isu kelewatan pembayaran pencen tentera.

“Saya manusia biasa yang kadang-kadang ada perasaan marah, bosan, kecewa dan macam-macam.

“Saya bukanlah manusia kalau sekali pun saya tidak pernah berasa usaha saya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sebaiknya adalah tidak berbaloi; kerana risiko yang saya tanggung,” ujar naib presiden PKR itu.

Menurut Rafizi, beliau hanya perlu melihat beberapa gambar anaknya untuk mengingatkan bahawa Allah telah memberi rahmat yang cukup besar kepada beliau.

“Kalau saya tidak menggunakan sedikit kelapangan yang saya ada untuk menabur bakti kepada orang ramai yang tidaklah bernasib baik seperti saya, seolah-olah saya kufur nikmat.

“Allah memberi rahmat kepada kita dalam bentuk yang jarang kita sedari.

“Apa yang kita rasa susah adalah satu ujian untuk melatih kita menjadi lebih kental, rahmat-Nya agar kita menjadi orang yang lebih baik,” ujar pengasas Invoke itu.

Hidup yang senang, kata Rafizi adalah ujian agar seseorang berkongsi kesenangan itu dengan orang lain, kerana manusia akan mati.

Seseorang itu, katanya hanya boleh berdoa agar Allah membuka hati orang lain supaya berbakti kepada anak yang tinggal seperti mana seseorang itu pernah cuba berbakti kepada masyarakat.

“”Keredhaan dengan ketentuan Allah itu adalah rahsia kebahagian hidup,” katanya.