“Kerana arwah Jay Jay, saya bertahan bersama Exists hingga album terakhir” – Ezad Lazim

Oleh WAN SITI AMINAH

Negara semalam dikejutkan dengan pemergian penyanyi popular era 1970-an, Mohd Fauzi Darus atau Jay Jay yang meninggal dunia sekitar pukul 9.30 malam Ahad.

Allahyarham yang juga vokalis kumpulan Carefree itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun di sebuah hospital swasta terletak di Kota Damansara, Selangor.

Pemergian Allahyarham yang terkenal dengan lagu Rindu Bayangan itu ternyata turut memberikan kesan cukup mendalam kepada bekas anggota Exists iaitu Ezad Lazim.

Menurut Ezad, dia tidak mungkin menjadi penyanyi Exists jika bukan kerana arwah Jay Jay berkeras agar syarikat rakaman mengambilnya sebagai penyanyi kumpulan itu.

Perkara tersebut didedahkan oleh pemilik nama sebenar Mohd Rohaizad Mohd Lazim itu menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun Instagram miliknya, malam tadi.

“Arwah Jay Jay adalah insan yang bertanggungjawab menjaga vokal saya ketika rakaman album pertama bersama Exists. Itu adalah kenangan takkan saya lupakan sampai bila-bila.

“Arwahlah insan yang mempertahankan saya untuk kekal bersama Exists kerana pada ketika itu, ada suara-suara dari pihak atasan yang berpendapat saya tidak sesuai menjadi penyanyi Exists,” dakwanya dalam hantaran itu.

Ezad juga mendakwa syarikat rakaman mahu Exists mencari penyanyi lain yang lebih sesuai walaupun dia sudah merakamkan hampir separuh lagu dalam album terbabit.

Walau bagaimanapun, Jay Jay bertegas mempertahankan Ezad hinggalah syarikat rakaman akur dan mengekalkannya sebagai anggota serta vokalis kumpulan Exists.

“Saya masih ingat arwah bertegas melalui perbualan telefon dengan nada yang agak keras. Arwah membangkitkan kenapa perlu cari penyanyi lain dan apakah alasan mereka mendakwa suara saya tidak sesuai.

“Dengan ketegasan itu, akhirnya syarikat rakaman akur saya kekal sebagai vokalis Exist dan kerana arwah, saya bertahan bersama Exists hingga album terakhir,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Allahyarham dilaporkan mengalami lumpuh pada Jun lalu selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 23 Mei lalu.

Arwah turut diserang angin ahmar tidak lama kemudian dan meneruskan rawatannya di Petaling Jaya.

Baca juga: “Tu ‘filter’ dekat TikTok” – Enot sangkal dakwaan bedah muka, turun berat antara asbab nampak lain