Kerana insiden huru hara ini, beg Ikea yang asalnya berwarna kuning ditukar kepada biru

Oleh KIM SYAZIE

Jika diperhatikan dari segi populariti, antara beg kitar semula yang sering digunakan oleh orang ramai ketika membeli barangan dapur dan mendobi ialah beg Ikea dengan warna biru ikoniknya.

Mengapa beg ini menjadi pilihan orang ramai? Mudah je, kerana harga beg tersebut murah, keadaan beg yang tahan lasak serta mampu digunakan dalam pelbagai situasi

Menariknya, beg tersebut direka dengan warna kuning pada awal kemunuculannya sebelum ditukar kepada warna biru. Mengapa? Ikuti perkongsian daripada pengguna Twitter Adib Hazlami (@adibhazlami).

Pada 1986, Ingvar Kamprad, pengasas Ikea dan pembantunya, Sten Lundén sedang mencari jawapan, 

”Kenapa barang kecik macam lilin dan comforter banyak ditinggalkan sebelum membuat bayaran?”

Pada masa tu, Ikea hanya menyediakan troli dan bakut kecil bagi para pelanggan untuk meletakkan barangan semasa membeli belah.

Apa yang mereka dapati, tiada alternatif lain untuk membawa barangan-barangan ini selain daripada memegangnya dengan menggunakan tangan.

Oleh sebab itu, ada segelintir pelanggan yang berputus asa dan membiarkan barangan tersebut di tengah jalan sebelum membuat bayaran.

Selepas mendengar perkara ini, Ingvar tidak menyukainya dan menganggap perkara ini tidak boleh diterima.

Sebagai satu syarikat yang memang memberikan tumpuan terhadap pengalaman pelanggan, Ingvar mahu masalah ini diselesaikan dengan segera.

Sejarah penciptaan beg Ikea

Maka, beliau mengarahkan Ketua Bahagian Pembelian, Lars Göran Peterson atau dikenali sebagai LGP untuk mengukur barangan yang ditinggalkan sebelum membuat bayaran.

Ukuran-ukuran barangan tersebut adalah untuk mendapatkan saiz yang optimum untuk beg akan dihasilkannya.

Mereka turut meletakkan beberapa syarat dalam pembikinan beg baharu ini. Antaranya, cukup besar sehingga boleh memuatkan wallpaper dan tahan lasak sehingga mampu mengangkat muatan kira-kira 50 kilogram.

Beg tersebut perlu verstail untuk dibawa ke mana-mana, sama ada disangkut pada bahu, troli atau dipegang begitu sahaja.

beg Ikea

Dalam satu perjalanan ke Taiwan, mereka berdua telah terjumpa kilang yang dapat menghasilkan beg mengikut spesifikasi yang diinginkan.

Kemudian, ‘tauke’ kilang ini menunjukkan beberapa sampel polypropylene, bahan yang digunakan untuk menghasilkan kampit beras.

Bagi memastikan beg tersebut betul-betul utuh, Ingvard dan LGP telah mencari seorang pekerja wanita yang memiliki berat kira-kira 50 kilogram.

Wanita tersebut diminta untuk berdiri di dalam beg sampel dan mereka berdua mengangkat beg tersebut. Menariknya, beg tersebut tidak terkoyak

Pada awalnya, Ingvar mahu menghasilkan dua buah beg dengan fungsi yang berbeza.

Satu beg digunakan untuk membawa barangan sebelum membuat bayaran dan satu lagi digunakan untuk membawa barangan tersebut ke rumah.

Pada masa yang sama, Ingvar melihat bahawa perkara ini adalah satu publisiti yang baik buat Ikea. Secara logiknya, semakin ramai orang menggunakan beg Ikea, semakin kerap mata-mata orang ramai melihatnya. Ini dapat memberikan publisiti yang baik buat Ikea.

Apabila orang ramai mengetahui bahawa itu adalah beg Ikea, ia akan menghasilkan satu impak yang besar terhadap penjenamaan terhadap institusi itu.

Dan bagi orang yang tidak mengetahuinya, ini akan menghasilkan rasa ingin tahu untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan beg itu lagi.

Pada 1989 di Ikea Hamburg, mereka memperkenalkan beg FRAKTA tetapi pengurus jualan membuat keputusan untuk menggunakan satu warna sahaja, iaitu warna kuning.

Namun, ia telah menjadi satu pengalaman yang huru hara kerana staf Ikea keliru antara beg mana yang digunakan untuk dalam dan luar premis.

Dari situlah beg biru diperkenalkan bagi membezakan antara beg yang digunakan untuk membawa barangan di dalam stor dengan beg yang digunakan untuk membawa barangan ke rumah.

Baca juga: 5 jenama yang selama ini ingatkan dari Malaysia, rupanya produk Mat Saleh