Malaysia Dateline

Kerana kerajaan yang gagal, Industri Pelancongan bakal hancur

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoalkan apa yang kerajaan sudah lakukan terhadap Malaysia selepas satu per satu sektor perhotelan dilaporkan terpaksa ditutup.

Beliau berkata, keadaan ini berlaku disebabkan pentadbiran kerajaan yang tidak cekap.

“Industri bernilai US$20 bilion hilang begitu sahaja kerana kerajaan yang tidak cekap. Tuan Perdana Menteri, apa yang anda telah lakukan ke atas Malaysia?,” soalnya di Twitter.

“Saiz Kabinet yang besar tidak berkesan. Pembaziran yang sangat ketara,” tambahnya kepada Malaysia Dateline.

Terdahulu, bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab menggesa agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) segera campur tangan untuk memastikan perniagaan hotel-hotel di negara ini tidak musnah akibat pandemik Covid-19.

Memetik The Vibes, Mirza berkata bahawa hartanah perhotelan adalah aset yang tidak ternilai bagi rancangan pemulihan negara selepas Covid-19.

Pengerusi Persatuan Bekas Kakitangan Pelancongan Malaysia itu berkata demikian susulan hotel Equatorial di Pulau Pinang dilaporkan akan ditutup menjelang Mac ini termasuk kira-kira 1,000 pengusaha hotel lain turut dijangka terjejas.

“Hotel yang ditutup untuk tempoh sementara atau kekal adalah jenama antarabangsa.

“Berita semakin tersebar dan pedagang luar negara mungkin hilang keyakinan terhadap kemampuan kita untuk menjadi destinasi masuk terkemuka. Kita perlu merebut kembali mantel Malaysia Truly Asia,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, jika sektor perhotelan ditutup, ia akan mengambil masa untuk menghidupkan semula ke kedudukan asalnya.

Menurutnya, sektor pelancongan tidak dapat berkembang maju seperti biasa, namun keadaan ini juga tidak boleh menjadi penyebab kerosakan sumber daya pelancongan negara.

“Kita mesti mencari jalan untuk menyelamatkan jenama dan harta tanah utama kita kerana sektor ini merekrut dan memberi banyak pekerjaan kepada orang ramai,” katanya lagi.