Malaysia Dateline

Kerana nak selamatkan Melayu Islam, rasuah pun tak apa!

Janganlah oleh kerana nak selamatkan Melayu-Islam sampai sanggup untuk merelakan rasuah. Dibimbangi tindakan ini akan mengheret negara seperti apa yang berlaku di Sri Lanka.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu semasa berucap dalam siri ceramah di Baling, Kedah malam tadi berkata insiden merelakan rasuah dan menyokong korupsi seperti apa yang telah berlaku di Sri Lanka harus menjadi teladan kepada pemimpin kerajaan sedia ada.

“Di Sri Lanka, apa yang Bumiputera Sri Lanka lakukan harus disokong walaupun ianya salah.Apabila tiada wang, negara berhutang dan akhirnya menjadi bankrap setelah kegagalan kerajaan yang memerintah.

” Walaupun Malaysia sukar untuk menjadi bankrap, penyelewengan yang semakin teruk, duit ‘reserve’ negara terus dicangkul gali setiap hari, akhirnya akan hilang dan lenyap juga.

“Oleh kerana itulah kita mendesak supaya diwujudkan jawatankuasa siasatan bagi memastikan setiap salah laku dan urus tadbir yang berlaku dalam negara disiasat dengan segera,” ujar beliau.

Namun begitu, katanya pelbagai tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap AMANAH saban waktu tatkala ini supaya timbul bermacam-macam persepsi bagi mendapat sokongan tidak akan menjadi realiti.

Jelasnya lagi, dakyah yang mendakwa PH cuba merungkaikan Perlembagaan negara juga merupakan satu lagi agenda jahat yang cuba di lakukan walaupun sebetulnya PH tidak bertindak seperti didakwa.

Sejajar dengan itu kata beliau, persepsi demi persepsi yang wujud tidak akan sekelumit pun menghakis sokongan terhadap PH selagi usaha membela nasib rakyat diteruskan.

Yang pasti tegas beliau, mereka yang telah menyeleweng, korup dan salah laku harus segera disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

Baca juga: Tidak ada orang yang waras kaitkan rasuah dengan bangsa dan agama, kata MCA kepada Hadi

Baca juga: Dibawa lari orang tak dikenali, remaja autistik ditemui di Kelantan