Malaysia Dateline

Kerana Parlimen ditutup, MP Pasir Mas didakwa jadi pemandu pelancong

Kerana tidak ada kerja akibat Parlimen ditutup, ahli-ahli Parlimen melakukan pelbagai pekerjaan yang tidak ada kaitan dengan mereka termasuk menjadi pemandu pelancong.

Di Kelantan, ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari didakwa menjadi pemandu pelancong dengan membuat promosi pelbagai industri kecil di kawasan beliau.

Ekoran itu, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan meluahkan kekesalannya kepada Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yasin kerana enggan membenarkan Parlimen bersidang hingga ada Ahli Parlimen yang bertukar menjadi pemandu pelancong akibat “tiada kerja”.

Merujuk kepada suatu hantaran di laman Facebook milik Ahli Parlimen Pasir Mas, jelas dilihat MP dari Pas itu “bertukar” profesion yang sebelum ini sebagai Ahli Parlimen kepada pemandu pelancong yang mempromosikan industri kecil sederhana seperti budu dan etok, sejenis kudapan seperti kerang yang banyak dijual di kawasan Pasir Mas.

Dalam video itu, Fadli bercakap kepada kamera bahawa beliau sedang membawa pelancong dari Kuala Lumpur untuk melawat gerai-gerai Etak yang ada di sekitar Pasir Mas.

“Apa lagi alasan oleh Kerajaan Persekutuan dan ahli Parlimen dari kerajaan untuk tidak mengadakan sidang Parlimen, sedangkan hampir kesemua ahli parlimen telah melengkapkan penerimaan suntikan vaksin Covid 19 sebanyak dua dos?” kata beliau yang juga Ketua AMANAH Kawasan Pengkalan Chepa itu.

Hazmi (gambar) yang lebih dikenali sebagai Jeming juga menyatakan rasa simpati kepada ahli Parlimen yang sepatutnya melaksanakan tugasan hakiki selaku penggubal dan pembahas polisi yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara dalam Parlimen, namun kerana tiada kerja, akhirnya menjadi pemandu pelancong.

Jika sebelum ini alasan yang diberikan untuk tidak membuka sidang Parlimen kerana faktor risiko jangkitan Covid 19 kepada golongan ahli Parlimen kategori warga emas, tapi dalam masa yang sama ada ahli Parlimen warga emas ini ke sana ke mari buat kerja politik.

“Tak malukah ahli parlimen dari blok kerajaan ini terutama daripada Pas, sebelum ini berdegar-degar konon pejuang rakyat, namun lepas menerima habuan termasuk jadi duta khas PM bertaraf menteri, nak buka mulut supaya buat sidang Parlimen pun tak berbunyi langsung,” bidas Jeming.

Katanya, rakyat memerhati terutama kepada ahli-ahli Parlimen dari Kota Bharu, Kubang Kerian, Tumpat dan Pengkalan Chepa yang kini jadi menteri dan timbalan menteri, “tapi nak berbunyi mulut minta buka sidang Parlimen pun tak berani.”