Malaysia Dateline

Kerana rakan golf PM, Felda kerugian RM1.3 bilion

Apakah nasib yang menimpa Felda Global Ventures (FGV) turut dihadapi syarikat kepentingan Felda di luar negara khususnya di Indonesia?

Bagi Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad, saham Eagle High Plantation (EHP) Indonesia yang merudum ke paras IDR204 sesaham berbanding IDR580 ketika dibeli Felda tahun lalu mengulangi episod duka FGV.

Apatah lagi Felda telah membelanjakan RM2.26 bilion membeli 37% saham EHP, syarikat milik Peter Sondakh, rakan golf perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Seolah-olah tidak cukup untuk menguji kesabaran rakyat khasnya warga peneroka – dengan merudumnya saham FGV kepada RM1.80, skandal pembelian hartanah dan hotel-hotel mewah yang penuh pertikaian di London dan beberapa tempat lain, dan paling mutakhir tentang ‘terjualnya’ tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang kononnya telah berjaya didapatkan semula; umum tidak mahu lagi dengar apa-apa cerita yang buruk tentang Felda lagi,” ujar Dr Dzulkefly.

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

Menurut beliau, meskipun benar harga saham sememangnya turun naik sepanjang tahun, namun kerugian saham EHP itu amat besar untuk ditanggung Felda yang sudah pun bermasalah.

“Dengan saham yang merudum mendadak ini, Felda sedang mengalami kerugian susutan nilai sebanyak US$300 juta atau RM1.3 bilion dalam pemilikan yang dipaksa ke atasnya,” jelas beliau.

Apatah lagi, ujar Dr Dzulkefly pembelian 37% saham EHP melalui FIC Properties Sdn Bhd telah dikritik pelbagai pihak kerana Felda membayar hampir 95% lebih tinggi dari harga pasaran.

Malah Felda, katanya tidak menguasai syarikat perladangan itu (controlling stake) dengan jumlah saham yang dibeli sekaligus tidak mempunyai kata pemutus dalam setiap urus niaganya.

Sebuah badan pemantau (watchdog) iaitu lnternational Palm Oil Monitor (IPOM),  tambah beliau turut mengenal pasti pelbagai salah laku tadbir-urus kewangan EHP yang mengalami kerugian kewangan untuk beberapa tahun mutakhir.

Peter Sondakh

Walaupun Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad berkata pembelian saham EHP “sebagai menjalankan kehendak kerajaan”, namun umum mengetahui syarikat di bawah Rajawali Group itu dimiliki taikun Indonesia Peter Sondakh, rakan golf PM Najib.

“Ketika segala bukti dan maklumat kritikal termasuk ‘due deligence’ yang dijalankan menunjukkan bahawa pembelian ini adalah tidak wajar, mengapa Najib masih memaksa pembelian ini,” soal beliau.

Dr Dzulkefly juga mahukan penjelasan Shahrir berhubung kegiatan dan pelaburan hiliran yang kononnya adalah faktor pendorong pembelian EHP setelah setahun kepentingan dalam syarikat itu dibeli Felda.

“Tegasnya, dengan semua salah-laku pengurusan serta pelaburan yang sarat dengan kontroversi dan skandal kewangan ini,  warga Felda khasnya dan rakyatnya umumnya, kini memberi ‘surat tunjuk sebab’ mengapa Najib dan kerajaan BN tidak boleh dipecat!” ujar beliau.

Tulisan lanjut Dr Dzulkefly boleh diikuti pada keluaran mingguan Amanah, edisi terbaru.